SHAH ALAM - Penghijrahan beramai-ramai bekas pemimpin UMNO dijangka meningkatkan sokongan pengundi muda dan golongan atas pagar kepada Perikatan Nasional (PN), menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penghijrahan beramai-ramai bekas pemimpin UMNO dijangka meningkatkan sokongan pengundi muda dan golongan atas pagar kepada Perikatan Nasional (PN), menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, Julai nanti.

Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) dari Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat berkata, penyertaan mantan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, itu dilihat mampu menarik sokongan sebahagian penyokong BN, terutama kumpulan anti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun Chin Huat berkata, impak sebenar penyertaan bekas pemimpin BN/UMNO berkenaan kepada PN menjelang PRN nanti, bergantung kepada tiga faktor lain iaitu pertama, sejauh manakah pengaruh mereka dalam arena politik tanah air sama ada tertumpu kepada kawasan Parlimen tertentu ataupun melimpahi sampai seluruh negeri.

"Faktor kedua ialah sejauh mana populariti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam enam bulan kebelakangan ini kerana setiap Perdana Menteri baharu mendapat sokongan tambahan lebih tinggi sebagai bonus, sehinggalah mereka membuat kesilapan besar.

"Dan ketiga perkembangan semasa sehingga hari mengundi yang mempengaruhi hasrat penyokong parti untuk keluar mengundi," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Selain itu katanya, desakan UMNO supaya Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan kepada Najib dan pembebasan Ahmad Zahid juga dapat membantu meningkatkan sokongan pengundi kepada PN, pada PRN nanti.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, penghijrahan bekas pemimpin UMNO itu bagaimanapun dilihat tidak memberi impak kepada PN kerana dibayangi populariti Anwar yang naik mendadak selepas berjaya membentuk kerajaan campuran di Putrajaya pada November lalu.

Mazlan berpandangan, pembentukan kerajaan campuran terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Putrajaya juga berjaya meneutralkan kemaraan gelombang hijau yang berlaku, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada lima bulan lalu.

Annuar (kanan) bersalaman dengan Takiyuddin di majlis sambutan hari raya pada Sabtu.


"Tambahan pula, PN juga terpalit dengan pelbagai isu negatif termasuklah kes mahkamah membabitkan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang bakal menjejaskan peningkatan gelombang hijau, pada PRN nanti," katanya.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, keputusan muktamad sama ada PN atau gabungan PH-BN menang PRN enam negeri berkenaan adalah bergantung kepada jumlah peratusan keluar mengundi pada hari pengundi kelak.

"Kalau ramai pengundi luar tidak pulang mengundi maka ia akan memberi kesan kepada peningkatan gelombang hijau dan peluang PN untuk menang kerusi," katanya.

Khairy Jamaluddin dan Noh mempunyai peluang besar untuk menang jika mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu dan Selangor atau di Pantai Timur.
Khairy Jamaluddin dan Noh mempunyai peluang besar untuk menang jika mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu dan Selangor atau di Pantai Timur.

Mazlan juga meramalkan bahawa Annuar, Noh dan Khairy mempunyai peluang besar untuk menang jika mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu dan Selangor atau di Pantai Timur.

"Saya juga menjangkakan tidak mustahil lebih ramai bekas pemimpin UMNO terutama mereka dipecat bakal menyertai PN dalam masa terdekat bagi meningkatkan gelombang hijau menjelang PRN nanti.

"Malah, dalam PH pun mereka cuba mencetuskan gelombang 'Anwar Ibrahim' bagi menarik sokongan pengundi terutama anak muda terhadap PMX menerusi pelbagai program bersama rakyat, sekali gus menjadi cabaran kepada PN," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca