SHAH ALAM - Pengambilan steroid tanpa pengawasan atau secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan selain mengakibatkan seseorang itu mengalami serangan jantung dan tekanan darah tinggi. Doktor perubatan sukan, Dr Ahmad Wazir Aiman... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengambilan steroid tanpa pengawasan atau secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan selain mengakibatkan seseorang itu mengalami serangan jantung dan tekanan darah tinggi.

Doktor perubatan sukan, Dr Ahmad Wazir Aiman menjelaskan, hormon dalam steroid menyebabkan badan mengekalkan natrium dan cecair dalam masa beberapa hari yang mengakibatkan peningkatan isi padu tekanan darah.

"Situasi itu boleh menyebabkan tekanan darah tinggi secara kronik dan mengakibatkan otot jantung menjadi ‘kaku’ (kardiomiopati hipertrofi). Ia boleh membawa kepada penyakit atau kegagalan jantung.

"Selain itu, steroid boleh meningkatkan kolesterol LDL (low-density lipoprotein) dan menurunkan kolesterol HDL (high-density lipoprotein). Ia menyebabkan arteri menjadi lebih sempit dengan plak (aterosklerosis) yang boleh menyebabkan serangan jantung.

"Ini berlaku kerana steroid mengubah pengeluaran lipase trigliserida hepatik, enzim di hati yang bertanggungjawab terhadap pengawalan kolesterol,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Wazir turut menjelaskan, steroid berfungsi dengan meniru sifat hormon semula jadi dengan mengaktifkan tapak reseptor khusus untuk pertumbuhan ekoran komposisi kimia yang hampir sama dengan hormon testosteron.

Beliau berkata, ketika tapak reseptor dirangsang, tindak balas kesan domino berlaku apabila ubat mengarahkan badan untuk meningkatkan pengeluaran tisu otot.

"Steroid boleh diambil dalam bentuk tablet, kapsul atau cecair suntikan bergantung kepada jenama. Istilah umum lain bagi steroid termasuk ‘roids’, ‘gear’ dan ‘jus’,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang menjelaskan, pengguna steroid turut terdedah kepada risiko penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Beliau berkata, pengambilan jangka masa panjang akan mengakibatkan tulang rapuh dan mudah patah walaupun terkena hentakan yang perlahan.

"Dalam jangka masa pendek, pengguna steroid akan mengalami pertambahan berat badan mendadak. Bahagian muka akan menjadi sembab atau lebih dikenali dengan istilah moon face.

"Pengguna lelaki akan mengalami kehilangan rambut yang mengakibatkan botak pada bahagian tertentu kepala. Namun keadaan ini hanya sementara, rambut akan tumbuh semula selepas pengambilan steroid dihentikan.

"Untuk penggunaan bagi tempoh lama, boleh menyebabkan penghasilan selaput mata berlebihan dan mengakibatkan katarak di bahagian mata. Keadaan ini sekiranya tidak dirawat dengan baik akan menyebabkan seseorang itu hilang penglihatan,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca