PAMERAN antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023 bakal bermula pada 23 Mei dengan kehadiran pelbagai aset daripada industri aeroangkasa dan maritim.
Seperti biasa ia adalah peluang terbaik untuk firma-firma tempatan dan antarabangsa untuk mengetengahkan pelbagai jenis sistem dan aset berkaitan, khususnya dalam bidang pertahanan.
Di sebalik kemeriahan sepanjang pameran LIMA setiap kali ia diadakan, bagi LIMA 2023 kali ini ia bakal terus mengundang tanda tanya, khususnya mengenai perolehan sistem dan aset kritikal kepada benteng pertahanan negara.
Walau mungkin tidak dinyatakan secara jelas kepada umum, sejak beberapa tahun kebelakangan amat terserlah sekali kelesuan dan kebimbangan yang boleh dikaitkan secara langsung dengan kemampuan aset-aset pertahanan negara dalam melaksana penugasan yang dipertanggungjawabkan secara optimum.
Paling menggusarkan perkara ini berlaku ketika pergolakan geopolitik dan strategik kuasa-kuasa besar mendominasi rantau ini, khususnya berkaitan penguasaan kawasan Laut China Selatan baik di permukaan mahupun di ruang udara.
Tidak dapat dinafikan sepanjang tempoh pameran sejak bermula pada 1991, sebahagian daripada objektif LIMA dapat dicapai terutama dalam memberikan peluang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta industri pertahanan tempatan menimba ilmu, menjalin hubungan, memahami dan mempelajari konsep serta teknik yang akhirnya dapat memberi manfaat sehingga mampu menyumbang kepada kemapanan pertahanan negara.
Agak malang pada akhir-akhir ini, rakyat marhaen mungkin mula muak dengan laporan media berkaitan kekurangan atau keusangan aset yang kerap diketengahkan selain berita berkaitan kegagalan industri pertahanan tempatan untuk memenuhi kehendak dan keperluan agensi-agensi berkaitan pertahanan negara.
Apa yang lebih mengecewakan ialah selain daripada LIMA yang memberi tumpuan kepada bidang aeroangkasa dan maritim, negara ini turut menganjurkan pameran DSA yang merupakan pameran aset dan teknologi difokuskan kepada sistem ketenteraan di daratan.
Setelah sekian lama kedua-dua pameran ini berlangsung, bidang pertahanan negara serta industri berkaitan dilihat seakan masih tidak mampu melangkah jauh ke hadapan, malah kebergantungan negara kepada produk-produk pertahanan luar negara masih tinggi.
Kemungkinan LIMA dan DSA memerlukan satu pendekatan baru dalam kalangan kepimpinan politik, pemegang taruh dan industri tempatan berkaitan yang tidak hanya bersifat ‘menanam tebu di bibir mulut’, tetapi lebih kepada ‘jika tidak dipecah ruyung, manakan dapat sagunya’.
Di pihak kerajaan dan ATM umpamanya, fokus perolehan perlukah seiringan dan pihak industri pula mestilah berkemampuan untuk menjalin usahasama yang bermanfaat dengan kedua-dua pihak tersebut agar apa yang dipersetujui dan ditetapkan bakal menjadi kenyataan dalam tempoh telah ditetapkan.
Apa yang telah berlaku sebelum ini, ketiga-tiga pihak seakan mempunyai haluan dan kepentingan masing-masing yang berbeza, walaupun aset atau sistem mahu diperoleh adalah sama.
Program kapal pesisir pantai atau LCS adalah contoh terbaik untuk memberi kesedaran kepada ketiga-tiga pihak, iaitu kerajaan, ATM dan juga industri mengenai bagaimana kegagalan hanya satu program mampu memberi kesan jangka panjang amat buruk terhadap pelan pembangunan strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Apabila pengumuman perolehan kapal LCS dibuat pada 2014, kesemua pihak yang terlibat dilihat begitu teruja. Apabila berhadapan media, senyuman di bibir mereka tidak pernah lekang.
Malangnya apabila keadaan sebenar didedahkan kepada umum, tidak ada pihak yang mahu mengakui kesilapan mereka, malah berkumandanglah lagu ‘bangau-oh-bangau’.
Pihak yang paling malang dalam episod ini tentunya TLDM yang telah diberi kepercayaan rakyat untuk menjamin keselamatan perairan negara. Kini mereka terpaksa bergelut dengan isu kekurangan aset.
Malah perolehan aset-aset kritikal lain seperti kapal logistik terpaksa ditangguh dan pelan ‘15 ke 5’ gagal direalisasikan mengikut garis masa yang telah ditetapkan.
Diharapkan ketika berlangsungnya LIMA 2023 kali ini, ia bakal membawa angin perubahan yang lebih segar dan bermakna. Hendaknya sesi bergambar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) janganlah hanya dijadikan sebagai pertandingan senyuman paling manis antara wakil kerajaan, pihak industri dan ATM untuk pihak media.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca