SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dijangka bersama-sama menggerakkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi. Penganalisis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dijangka bersama-sama menggerakkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, Dr Mahathir dan Annuar mungkin sedang merencanakan kerjasama kempen atau sedang menggembleng gelombang politik baharu susulan pertemuan kedua-dua tokoh berkenaan.

Bagaimanapun, beliau percaya gelombang politik tersebut bukan melalui penubuhan sebuah parti politik baharu.

"Gerakan politik menerusi penubuhan parti adalah mustahil dilakukan tetapi saya lihat ada potensi untuk dilaksanakan kerjasama dalam PRN antara kedua-dua tokoh ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohammad Tawfik berpandangan langkah Annuar melawat Dr Mahathir dan berkongsi foto lawatan itu sebagai usaha memperlihatkan beliau sedang mengumpul kekuatan sokongan orang Melayu.

Annuar terdahulu memberi gambaran akan mewujudkan kerjasama politik dengan Dr Mahathir susulan pertemuan kedua-dua mereka yang berlangsung pada Ahad.

Menerusi hantaran di Facebook, Annuar berkata, beliau bersama Dr Mahathir sepakat untuk terus berikhtiar mengukuhkan muafakat serta perpaduan orang Melayu dan bumiputera di negara ini.

"Selain itu amatlah penting kita menyuburkan muafakat bagi mengurus negara kita yang berbilang bangsa dan agama ini dengan baik, sepertimana Tun pernah lakukan sekian lama sebagai Perdana Menteri,” kata Annuar.

Jelas beliau, pertemuan yang berlangsung di kediaman Dr Mahathir itu membincangkan mengenai politik khususnya soal masa depan orang Melayu dan bumiputera di Malaysia serta hal ehwal semasa politik negara.

"Walaupun saya dan Tun sering berbeza pendapat dan haluan politik, namun saya amat kagumi kepimpinan Tun yang begitu banyak membawa impak dan amat berjasa pada negara,” katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan Annuar akan bersama Pas.

Klik di sini untuk terus membaca