SHAH ALAM - Pas bersetuju dengan cadangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh agar kerajaan menaikkan peruntukan bagi institusi pendidikan agama supaya pembahagian secara purata lebih adil dan munasabah. Setiausaha Majlis Syura Ulama... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pas bersetuju dengan cadangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh agar kerajaan menaikkan peruntukan bagi institusi pendidikan agama supaya pembahagian secara purata lebih adil dan munasabah.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ini kerana banyak institusi pendidikan agama Islam dibangunkan dengan dana yang tidak mencukupi.

"Pusat tahfiz kebanyakannya dibina hanya disebabkan derma dan sumbangan orang ramai. Ini menyebabkan kerajaan kena ambil perhatian.

"Disebabkan itu, infrastruktur pusat tahfiz tidak menepati kriteria. Ini membahayakan dan menyebabkan pusat-pusat boleh terbakar dan sebagainya. Kena beri peruntukan sepatutnya,” katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Pemuda UMNO berpendirian kerajaan wajar menaikkan peruntukan untuk institusi pendidikan agama supaya pembahagian secara purata yang lebih adil dan munasabah dapat dilakukan.

Ketuanya, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, ia perlu dilakukan jika peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) tidak boleh dikurangkan atau dinilai semula kerajaan.

Dalam pada itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, peruntukan perlu diberi sama rata tanpa mengira institusi pendidikan kerajaan atau swasta memandangkan Islam merupakan agama rasmi dalam negara ini.

Jelasnya, adalah lebih baik sekiranya kerajaan menetapkan mekanisme atau pecahan jumlah peruntukan terhadap semua institusi pendidikan supaya semua kategori sekolah menerima dana yang sama meskipun bertukar kerajaan.

"Kerajaan mesti bagi peruntukan terutama sekolah agama Islam,” ujarnya lagi.

Beliau turut mendedahkan bahawa perkara tersebut telah dirancang dan dibuat penilaian oleh Perikatan Nasional (PN) ketika menjadi kerajaan, namun tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Dalam masa sama, Nik Muhammad Zawawi mencadangkan agar kerajaan meletakkan peruntukan berkenaan institusi pendidikan Islam di bawah Kementerian Pendidikan ataupun Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Saya rasa ini adalah lebih baik untuk membela dan peruntukan bagi sekolah agama diselaraskan atau ditingkatkan,” kata beliau.

Turut senada dengan perkara tersebut ialah Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyatakan bahawa peruntukan bagi institusi pendidikan agama sememangnya perlu ditingkatkan.

"Saya tiada masalah untuk setuju dengan cadangan yang diutarakan beliau (Dr Muhammad Akmal) sebab saya rasa perkara itu memang diperlukan.

"Bagaimanapun, UMNO merupakan sebahagian dalam Kerajaan Perpaduan. Sepatutnya beliau mengutarakan perkara ini kepada Presidennya yang mana sekarang ini merupakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Ini adalah lebih baik,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca