SEMALAM 1 Mei sebahagian besar pekerja di Malaysia bercuti menyambut Hari Pekerja. Mungkin, kerja ialah antara salah satu sebab yang membolehkah manusia terus hidup di bumi. Dengan bekerja, kita membina tamadun.
Kita membuat kilang, ladang, jalan raya, sekolah dan bermacam lagi. Semuanya untuk membolehkan semua kita kekal hidup dan bertahan.
Tak kiralah sama ada berpangkat besar atau rendah, berkolar putih atau biru, kita semua perlu bekerja kuat. Orang tua kita selalu menyebutkan peribahasa ini - ‘Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.
Sesekali kita juga diingatkan, ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’. Begitulah ingatan-ingatan agar kita berusaha gigih tanpa kenal lelah.
Orang Jepun memang sudah lama diketahui bekerja kuat. Malah mengambil cuti juga hal yang memalukan.
Di China, pengasas Alibaba, Jack Ma mulanya hanya guru bahasa Inggeris. Mungkin sebab kerja kuat, beliau kemudiannya naik menjadi sebagai antara orang yang terkaya di dunia.
Malah beliau juga banyak dikecam kerana menyokong polisi 996 di China. Ia konsep kerja 12 jam sehari daripada 9 pagi ke 9 malam selama 6 hari seminggu. Semua ini ialah kerana orang percaya, hanya dengan kuat bekerja, kita boleh hidup senang lenang.
Tapi kelihatannya, walaupun idea kerja kuat ini baik, tetapi itu cerita lama.
Tahun lalu, Zaid Khan, seorang jurutera berusia 24 tahun di New York telah menghasilkan satu video dan beliau telah membincangkan idea quite quitting. Videonya ini, tentu tak disangkanya juga, telah mendapat lapan juta tontonan.
Berhenti senyap ini bukanlah berhenti kerja secara diam-diam. Orang terus bekerja, tapi cuma dengan kadar minimum. Tak perlu menjawab e-mel di luar waktu pejabat, atau cuba terlibat dengan aktiviti yang tak ada dalam kontrak kerja.
Tapi sebelum idea ini popular di banyak negara Barat khususnya di Amerika Syarikat, ia sebenarnya terlebih dulu popular di China, dengan lying flat - atau dalam bahasa kita, tidur terlentang. Ia kisah tentang jangan jadi hamba kerja, tidur dan berehatlah. Kerja seadanya sahaja.
Seperti idea ini sangat negatif apabila pekerja diminta jangan berlebihan kerjanya. Tapi, kata Profesor Adam Grant, seorang ahli akademik terkenal, idea quite quitting ini bukan hal teruk. Ia sekadar untuk memberi mesej kepada majikan, jika anda tak melayan pekerja, atau tak menghargai mereka, akhirnya itulah yang terjadi.
Harus diingat, gerakan berhenti senyap bukan sahaja menular di Barat, malah seluruh dunia. Lojiknya ada. Untuk apa jadi hamba kerja, jika ganjaran dan penghargaan diterima tak berbaloi. Atau dimarahi penyelia setiap hari. Jadi, daripada berhenti kerja dan menjadi penganggur, adalah lebih baik menyumbang sebanyak yang patut sahaja.
Dahulunya, dalam konsep pengurusan banyak diberitahu tentang konsep kerja bersunguh-sungguh ini. Antara yang popular ialah organisational citizenship behaviour dan work engagement.
Tapi, akhirnya konsep-konsep ini mungkin tak bermakna, jika hanya pekerja sahaja diminta itu dan ini, tetapi majikan pula agak kurang responsif. Kelihatannya konsep ini hanya menguntungkan majikan. Pekerja mula merungut dengan sukarnya naik pangkat atau rutin kerja yang tak berubah.
Ada yang mendakwa kadar gaji pekerja kini lebih baik. Tapi, kadar inflasi juga meningkat. Jadi kenaikan gaji mungkin tak dilihat sebagai ganjaran lagi.
Majikan patut bimbang. Dalam dunia hari ini, pekerja tak begitu teruja lagi menelan idea kerja kuat ini. Manusia memilih untuk dihargai dan hidup yang lebih baik. Organisasi dan majikan tak lagi dianggap sebagai tuan buat selama-lamanya. Jika majikan membuat banyak helah, pekerja banyak muslihatnya juga.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca