KUALA LUMPUR - Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dikesan menjadi lokasi tumpuan penunggang motosikal berkuasa tinggi untuk menduga kelajuan serta kebolehan jentera masing-masing sehingga membahayakan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dikesan menjadi lokasi tumpuan penunggang motosikal berkuasa tinggi untuk menduga kelajuan serta kebolehan jentera masing-masing sehingga membahayakan pengguna lain.

Walaupun had kelajuan maksimum di kedua-dua lebuh raya berkenaan adalah antara 90 hingga 110 kilometer sejam (kmj), namun ada motosikal berkenaan ditunggang sehingga 220kmj di laluan berliku dan berbukit bukau.

Timbalan Pengarah (Kepolisan/Siasatan/Sumber) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Radi Abd Rahman berkata, pihaknya sering mengesan aktiviti menunggang pada kelajuan tinggi iaitu antara 150kmj hingga 220kmj, yang dilakukan oleh kumpulan konvoi penunggang pada hari minggu.

Tinjauan lensa Sinar Harian di Tol Gombak menunjukkan banyak kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi mengadakan konvoi pada hujung minggu. Foto SINAR HARIAN/ RAFEQ REDZUAN

"Pemantauan kita mendapati kebiasaannya mereka terdiri lebih daripada 10 penunggang dalam satu kumpulan yang awalnya bertujuan santai kemudiannya terdorong menguji motosikal masing-masing.

"Polis percaya lokasi ini (Kuala Lumpur-Karak) menjadi hotspot kerana laluan itu mencabar, berselekoh dan dianggap sesuai untuk menguji motosikal terbabit,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, sebagai langkah penguatkuasaan, risikan sentiasa dilakukan dalam usaha mengekang aktiviti terbabit daripada terus berleluasa.

Katanya, motosikal menjadi penyumbang tertinggi kemalangan jalan raya iaitu lebih 55 peratus berbanding kenderaan lain.

"Mengenai keseriusan aktiviti menduga kelajuan dan kebolehan motosikal berkuasa tinggi ini, ia masih terkawal,” ujarnya.

Tambahnya, setakat ini tiada laporan diterima pihaknya mengenai penglibatan motosikal berkuasa tinggi dalam perlumbaan haram.

Lebuh Raya KLK dan LPT sering menjadi tumpuan kumpulan motosikal sama ada untuk berkonvoi atau lumba haram.

Pada 27 Disember lalu, aliran trafik di KLK arah ibu negara perlahan lebih lapan kilometer akibat kemalangan lima motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 26.5.

Beberapa gambar dan rakaman video membabitkan kemalangan itu tular di media sosial. Bagaimanapun, kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan.

Tegas Mohd Radi, mereka yang terlibat dalam perlumbaan haram boleh dituduh di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM500,000.

Justeru, beliau menasihatkan semua pemilik motosikal supaya sentiasa berhemah di jalan raya, mematuhi undang-undang serta tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan kerana ia satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah APJ 1987.

"Polis juga bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan selain jabatan-jabatan dalam PDRM supaya lebih bersinergi dalam konteks kekuatan keanggotaan demi menjayakan operasi penguatkuasaan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca