SHAH ALAM - Bukan sahaja menjadi laluan bagi warga kota untuk ke Pantai Timur, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) turut menjadi lokasi bagi sesetengah individu untuk menguji kelajuan motosikal mereka.
Menurut seorang pengguna, Abd Malek Johan, 64, dia sentiasa berhati-hati setiap kali menggunakan lebuh raya itu terutama pada hujung minggu.
"Kebiasaan pada hujung minggu setiap bulan, saya akan pergi ke Kuala Lumpur sebab nak melawat anak dan cucu yang tinggal di sana. Tetapi laluan KL-Karak ini memang saya akan berhati-hati sebab banyak motosikal yang ditunggang sangat laju.
"Ia menyebabkan saya tak berani memandu di lorong kanan kerana takut ada motosikal tiba-tiba datang dari arah belakang dan melanggar belakang kereta saya. Perkara macam itu boleh jadi punca kemalangan.
"Itu belum masuk lagi kalau mereka buat aksi di selekoh tajam, memang cari nahas,” kata pesara kerajaan tersebut kepada Sinar Harian.
Ahmad Mustaqim Abdullah, 24, pula berkata, keadaan lebuh raya berkenaan yang berbukit bukau menyebabkan ramai penunggang motosikal gemar menunggang laju sambil melakukan aksi tertentu.
"Kadang-kadang semasa saya memandu, saya nampak mereka bawa motosikal betul-betul macam tak sayangkan nyawa.
"Jadi saya akan berhati-hati lebih-lebih lagi kalau hari siang hujung minggu, waktu itu memang ramai penunggang di atas jalan raya,” kata pekerja syarikat swasta tersebut.
Berpandangan sama, Hasif Zakwan Hamidi, 24, berkata situasi itu secara tidak langsung menimbulkan ketidakselesaan kepadanya yang juga pengguna lebuh raya berkenaan.
"Saya harap pihak berkuasa tolong pantau perkara ini, kalau boleh pasang lebih banyak kamera penguat kuasa.
"Sudah banyak kemalangan melibatkan motosikal dan ia berakhir dengan maut,” kata anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang tersebut.
Dalam pada itu, seorang graduan institusi pengajian tinggi, Nik Ahmad Naim Nik Mohd, 24, berpendapat para penunggang sepatutnya berhati-hati kerana di lebuh raya terdapat banyak kenderaan yang ingin selamat sampai ke destinasi.
"Lebuh raya sepatutnya mempercepat semua pengguna untuk sampai ke destinasi, tapi ini tidak, ramai terpaksa perlahankan kenderaan. Saya sendiri pun nyaris nak berlanggar ketika hendak memotong disebabkan ada motosikal ditunggang terlampau laju.
"Itu belum tambah dengan aksi-aksi pelik mereka di atas jalan raya. Saya kira pihak berkuasa terutama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kena buat pemantauan terutama pada hujung minggu,” jelasnya yang berasal dari Besut, Terengganu.
Klik di sini untuk terus membaca