SHAH ALAM - Penunggang motosikal berkuasa tinggi mengakui Lebuh Raya Pantai Timur terutama dari Kuala Lumpur ke Karak sebagai laluan yang mencabar.
Bagi seorang pemilik motosikal Kawasaki Z1000SX, Zulkifli Noh, 54, lebuh raya itu memberi kepuasan kerana terdapat banyak selekoh tajam, serta laluan mendaki dan menurun.
"Selekoh di LPT mencabar. Kebiasaannya kami akan keluar berkonvoi dari ibu negara menghala ke Pantai Timur pada hujung minggu sama ada untuk makan tengah hari dan sebagainya.
"Dari segi keselamatan memang kami amat titik beratkan terutama aspek pakaian serta topi keledar,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal berkuasa tinggi, Shamsudin Mohd Kasim berkata, keadaan jalan yang beralun dan tidak rata di sesetengah lokasi di LPT boleh mendatangkan risiko kepada penunggang.
Pemilik motosikal jenis Kawasaki 1400GTR itu berkata, kebiasaan kelajuan penunggang motosikal di kawasan beralun itu adalah 110 atau 120 kilometer sejam (kmj) sahaja.
"Laluan ini memang mencabar. Kelajuan motosikal berkuasa tinggi di jalan lurus dan tidak beralun di LPT kebiasaannya adalah 150kmj,” ujarnya.
Ahli perniagaan itu berkata, dia mula aktif dalam aktiviti berkonvoi motosikal berkuasa tinggi sejak tujuh tahun lalu.
"Saya hanya terlibat dalam aktiviti konvoi bersama rakan sebulan sekali,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pemilik motosikal jenis Kawasaki 1400GTR, Mohamad Zainudi Mat Leh, 47, berkata, penunggang motosikal perlu berhati-hati jika melalui jalan beralun atas faktor keselamatan.
"Bahaya jika menunggang motosikal berkuasa tinggi melebihi had kelajuan di laluan beralun,” ujarnya.
Mohamad Zainudi berkata, kali terakhir dia berkonvoi melalui LPT adalah pada tahun 2015.
Klik di sini untuk terus membaca