KITA masih dalam mood berhari raya. Masih dapat mendengar lagu-lagu raya, masih boleh melihat orang berpakaian sedondon ke hulu ke hilir bersama walaupun dahulu ada antara mereka yang mungkin seorang ke hulu seorang ke hilir. Kunjung-mengunjung juga masih berterusan walaupun mungkin terhad pada hujung minggu atau hari minggu.
Di sana sini masih ada rumah terbuka. Saiznya bergantung pada siapa yang anjur. Kalau guna duit sendiri, ia mungkin sekadar untuk beberapa puluh atau beberapa ratus tetamu. Kalau ada yang sponsor, tetamunya boleh mencecah beribu-ribu, kalau guna peruntukan campur dengan sponsor mungkin mencecah puluhan ribu.
Demikianlah hakikatnya. Dalam apa keadaan pun sentiasa ada perbezaan antara menggunakan hak sendiri, hak orang dan hak kerajaan.
Bagi marhaen macam kita, rumah terbuka mungkin sekadar majlis makan apa yang ada dengan satu dua menu istimewa. Itu pun kalau tak kena gaya, kosnya boleh menyebabkan ada bil terpaksa ditangguh pembayarannya sebulan dua. Tidak mengapa, Aidilfitri hanya setahun sekali. Dan mujurlah hanya setahun sekali!
Ada orang berkata tahun ini tradisi menganjurkan rumah terbuka tidak semeriah dahulu. Lebih ramai yang tak buat daripada yang buat. Kalau dahulu hampir setiap hari sepanjang Syawal ada sahaja yang menganjurkannya, termasuk pada hari bekerja dengan jumlahnya meningkat berkali ganda pada hari cuti, kini keadaannya berbeza.
Saya tahu ramai yang mengaitkan senario ini dengan situasi ekonomi semasa. Tanpa menafikannya, saya pula berpendapat kurangnya penganjuran rumah terbuka tahun ini lebih disebabkan oleh perubahan gaya hidup.
Seingat saya konsep rumah terbuka cara sekarang ini hanya muncul pada sekitar pertengahan 1980-an. Sebelumnya yang ada hanya rumah terbuka cara lama. Waktu itu tuan rumah tidak menetapkan hari apa dan bila tetamu boleh datang beraya di rumahnya.
Bermula dari raya pertama mereka akan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang datang dan ia berlanjutan sehingga raya kedua, itu pun agak sendu berbanding hari raya pertama. Orang dahulu tidak beraya sepanjang Syawal macam sekarang.
Pada hari raya ketiga ramai yang telah kembali bekerja. Jika ada yang masih beraya selepas itu pun, bilangannya kecil dan mereka selalunya tertumpu kepada ahli keluarga atau handai taulan terdekat yang tidak sempat dikunjungi semasa hari raya pertama dan kedua.
Apabila muncul rumah terbuka cara moden yang diamalkan sekarang ini, keadaan berubah. Kita tidak boleh lagi terjah untuk beraya di rumah orang sesuka hati. Kena tunggu hari dan waktu dia mengadakan rumah terbuka.
Itu pun kena berhati-hati, tidak boleh redah sembarangan sebab nama sahaja rumah terbuka tetapi ada tuan rumah mengehadkan tetamu pada kalangan yang diundang sahaja.
Rumah terbuka konsep baharu itu pantas berkembang sehingga diterima sebagai budaya, yang kemudiannya dipraktikkan bukan sahaja ketika menyambut Aidilfitri tetapi juga semasa perayaan-perayaan lain di negara ini.
Malah bagi banyak orang menganjurkan rumah terbuka seakan-akan menjadi kemestian, dan dalam keadaan tertentu menjadi simbol status.
Keadaan berubah selepas kedatangan Covid-19. Dua tahun menyambut Aidilfitri dalam keadaan ‘terkurung’ dan ‘terkawal’ menyedarkan kita rupa-rupanya tanpa mengadakan rumah terbuka pun kita tidak mati. Rupa-rupanya juga, kita masih boleh beraya. Masih boleh bermaaf-maafan. Masih boleh makan-makan.
Pengalaman itulah barangkali yang mempengaruhi sikap kita dalam kehidupan pasca pandemik dan kita tidak lagi beria-ia hendak mengadakan rumah terbuka.
Namun pada pengamatan saya, pengalaman semasa Covid-19 tidak banyak mengubah tradisi menyambut raya dengan rumah tertutup yang dipraktikkan oleh sebahagian daripada kalangan kita sejak dahulu.
Maksud saya, mereka yang menutup pintu dan tingkap rumahnya sejak sehari dua sebelum hari raya pertama bagi yang balik kampung.
Bagi yang tak balik kampung pula acara menutup pintu dan tingkap itu biasa bermula pada raya ketiga atau keempat dan ia kadang-kadang berterusan sehingga ‘hujung bulan’.
Untuk berkunjung ke rumah-rumah tertutup ini saya nasihatkan anda hubungi dulu tuan rumahnya sebelum datang.
Jika tidak jenuhlah anda berdiri memberi salam di depan pagar atau di depan pintu, lebih-lebih lagi jika anda adalah orang Pakistan yang datang untuk mengutip duit karpet atau kawan yang datang menagih hutang atau saudara mara yang jumlah anaknya memerlukan setengah cekak sampul angpau.
Saya juga ingin menasihatkan, jika anda mendapati rumah itu berpenghuni, tetapi pintu dan tingkapnya tertutup, jangan pula panjat bumbung dan tebuk atap. Tak elok begitu...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca