PADA cuti hari raya lalu, saya banyak masa melayari media sosial di telefon sambil mengunyah kuih bangkit. Agaknya kerana lama meluncur di alam siber, saya telah melangkaui algoritma profil saya hingga banyak akaun individu, personaliti dan pempengaruh baharu melintas di skrin telefon.mei
Banyak juga perkara yang sama saya tatap, tetapi daripada akaun berbeza. Si tuan punya akaun telah menyalin, edit dan muat naik seolah-olah ia adalah hasil kerjanya sendiri. Kebanyakan yang melakukannya adalah BBNU, atau slanga media sosial bagi ‘Budak Baru Nak Up.’
Saya menatap sebuah video seorang BBNU yang memberi hukuman bahawa sesebuah jenama akan dijamin terkubur jika tidak melakukan lima perkara wajib menurut saranannya. Saya ternganga kerana yang disekolahkan ialah sebuah ‘sub-topik’ dari sebuah bab daripada sebuah buku penjenamaan!
Topiknya pendek, setengah halaman sahaja tetapi disampaikan seolah-olah ia adalah sebuah ‘hukum penjenamaan’ dalam ilmu pemasaran. Video itu mendapat berbelas ribu tanda suka.
Bagi yang tidak tahu, mereka akan ambil konten itu secara membuta tuli. Inilah yang dikejar mereka yang mahukan tanda suka dan pengikut ramai. Atas nama konten, mereka sanggup menciplak dan buat sensasi mengenai topik yang biasa menjadi luar biasa.
Kini, sikap salin dan tampal tanpa meminta kebenaran sudah berleluasa. Malah, ia diterima sebagai suatu normalisasi.
Mereka yang berbuat begitu tidak malu mengambil hak cipta orang. Apakah ia tidak salah? Salah, kerana mengambil hak orang lain tanpa kebenaran juga adalah mencuri meskipun yang dikebas itu bukan benda fizikal tetapi hasil kerja.
Bagaimanapun, tuan-tuan punya hak cipta sudah tidak larat untuk menghantar amaran atau mengambil tindakan terhadap mereka yang salin dan tampal segala bahan asal ke dalam akaun pihak lain.
Ia membuang masa, kerana seandainya si tuan punya hak cipta ingin mengambil tindakan terhadap kesemua hasil karyanya, nescaya tidak terbuat, malah tidak akan punyai masa untuk menghasilkan bahan baharu.
Apakah pula kesannya terhadap netizen? Saya merangkum mereka yang melayari media sosial kepada tiga kategori iaitu golongan pencipta iaitu mereka yang menghasilkan konten seperti blogger, pempengaruh dan mereka yang menjual.
Kedua pula adalah kategori pengguna iaitu mereka yang mencari sesuatu daripada golongan pertama. Dan, ketiga ialah golongan penonton yang tidak menganggap media sosial sebagai sesuatu yang perlu diambil serius.
Golongan kedua inilah kategori yang terbesar di kalangan mereka yang melayari media sosial. Sebab itulah media sosial menjadi mall siber yang mendatangkan pendapatan besar kepada golongan peniaga yang datang dari kategori pertama.
Betapa pun, kategori pengguna yang cuba mendapatkan ilmu daripada media sosial akan berdepan pelbagai ilmu-ilmu separuh masak yang tidak diketahui asal usul dan asasnya.
Ia dikatakan sebagai ilmu separuh masak kerana ilmu-ilmu dari video tiga hingga 20 minit itu terlalu ringkas. Ia tidak terdedah kepada mukadimah, kaitan ilmu yang disampaikan itu dengan topik utama di bawah sesebuah subjek.
Subjek itu pula seharusnya daripada cabang kurikulum sesebuah bidang ilmu. Maknanya, sekiranya seseorang mahu menguasai bidang ilmu, dia harus mengetahui susur galur sesebuah ilmu itu.
Maka seseorang yang mengikuti ilmu daripada media sosial hanya memperoleh ilmu celam-celum; sekejap begini, sekejap begitu. Pengetahuan yang diperoleh secara itu akan menjadikan seseorang itu tahu tetapi tidak berpengetahuan.
Meskipun ia tidak mendatangkan bahaya kepada orang lain, tetapi ia hanya akan melahirkan mereka yang mempraktikkan ilmu mengikut apa yang menjadi trend.
Bagaimanapun ia akan merugikan masa lebih-lebih lagi sekiranya mereka yang mencari ilmu itu tidak berhati-hati.
Terdapat ramai juga mereka yang cuba menjadi golongan kategori pertama iaitu mereka yang menyampaikan ilmu. Pengetahuan yang sedikit itu disebarkan seolah-olah ia adalah sebuah formula yang hebat dan unggul.
Si penyampai adalah seperti seorang kanak-kanak yang berdiri di atas busut, tetapi perasan yang dia sudah berada di atas gunung. Dia tidak sedar apa yang disampaikan itu hanyalah serpihan ilmu yang ramai orang sudah tahu.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca