MELAKA - Pengeluaran buah durian secara komersial oleh China bermula bulan depan tidak akan menjejaskan pekebun dan penjual durian di negeri ini.
Pengusaha durian heng di Bemban, Jasin, Tan Thian Yew, 25, berkata, ini kerana durian di Malaysia lebih berkualiti dan rasanya lebih enak terutama durian kampung dan musang king.
"Rakan saya yang pergi ke negara itu beritahu, di sana mereka petik dan tidak akan tunggu buah durian gugur,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, selepas tiga tahun mengambil alih perniagaan keluarga, dia percaya pelanggan tetap akan datang mencari durian tempatan yang lebih sedap rasanya.
Namun, setakat ini belum ada pihak yang dilaporkan berminat untuk mengimport durian China itu ke Malaysia.
Sementara itu, Muhammad Aiman Mohd Nasri, 24, yang menjual durian di Bukit Lintang bersetuju pengeluaran durian oleh China tidak memberi kesan besar kepada pengusaha durian tempatan.
Dia yang mengambil bekalan durian di kebun datuknya di Bukit Pasir, Muar, Johor, yakin durian tempatan lebih bermutu berbanding yang diimport.
Menurutnya, lambakan durian mungkin berlaku pada Jun dan Julai ini disebabkan semua negeri menghasilkan buah tersebut.
Malaysia perlu ubah strategi pemasaran
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pekebun Durian Perak, Nor Hisham Nayan berkata, penanaman durian di China pada skala besar tidak memberi kesan besar kepada eksport raja buah itu disebabkan kualiti yang berbeza.
Katanya, faktor kualiti dari segi rasa dan bau menjadikan durian yang ditanam di negara ini lebih digemari berbanding negara lain.
Menurutnya, durian di Malaysia tidak diperam seperti sesetengah negara pengeksport, cuma dari segi pemasaran mungkin sedikit ketinggalan.
"Kita menyedari bahawa China sudah pun memiliki ladang durian dan mengeluarkan buah duriannya sendiri. Namun kita jangkakan ia tidak akan mengganggu permintaan sedia ada kerana pelanggan sudah sedia maklum dengan kualiti durian Malaysia.
"Cuma saya fikir cabaran besar adalah aspek pemasaran kerana kita masih lagi ketinggalan berbanding negara lain seperti Thailand dan Singapura. Malah kita sudah ada pesaing baharu iaitu Vietnam,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Nor Hisham memberitahu, pihak persatuan kini sedang merancang untuk mengeksport sendiri buah durian dalam kalangan ahli ke negara-negara yang mempunyai permintaan tinggi.
Katanya, dalam tempoh dua tahun inisiatif berkenaan bakal direalisasikan dengan bantuan pelbagai pihak yang berkaitan.
Sementara itu, Nor Hisham mengakui jumlah pengeluaran buah durian di Perak dijangka berkurangan pada tahun ini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Menurutnya, cuaca terlalu panas dan kadangkala hujan menyebabkan penghasilan buah terbantut sekali gus menjejaskan pengeluaran.
"Kita jangkakan tahun ini harga durian akan naik kerana buah kurang dan permintaan tinggi. Mungkin di sebelah utara Perak pengeluaran agak baik namun berkurang di sebelah selatan Perak.
"Kalau dilihat ketika ini durian sedang berputik namun di kawasan seperti di daerah Batang Padang dan Hilir Perak hampir tidak ada. Jadi mungkin durian pada tahun ini tak berapa menjadi,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca