NEW YORK - Siapa sangka kuasa mogok lapar boleh memberi impak yang sangat besar.
Sesiapa sahaja boleh melakukan tindakan nekad itu walaupun berada di dalam penjara dengan keadaan yang sangat teruk.
Mogok lapar sudah menjadi perkara biasa di penjara terutamanya di Israel, Afrika Selatan dan di kem tahanan Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo di Cuba.
Kebanyakan pihak berkuasa bimbang jika banduan yang mogok lapar meninggal dunia ketika berada di dalam tahanan.
Pada 1981, Bobby Sands bersama sembilan anggota gerakan separa tentera nasionalis Ireland menghembuskan nafas terakhir selepas melancarkan mogok lapar selama beberapa bulan di penjara Ireland Utara.
Tindakan itu adalah sebahagian daripada protes terhadap pemerintahan Britain ketika konflik etno-nasionalisme (The Troubles) yang menyaksikan pertempuran jalanan antara penyokong setia Protestan pro-Britain dan pengikut Katolik.
Ketika mogok lapar itu, Sands meraih sokongan penuh orang ramai sehingga beliau dilantik menganggotai Parlimen Britain ketika masih berada di belakang tirai besi.
Pengorbanannya menyebabkan beliau diangkat sebagai hero nasionalisme Ireland.
Pada 2005, ratusan tahanan Guantanmo melakukan mogok lapar untuk membantah penahanan mereka, sekali gus mencetuskan kebimbangan kepada pegawai AS jika tindakan nekad itu bakal meragut nyawa mereka.
"Kami tidak mahu kemunculan seorang lagi Bobby Sands yang akan diangkat sebagai hero," kata seorang pegawai Washington sambil menambah mereka kemudiannya memberi makan secara paksa kepada tahanan hingga mengundang kecaman kumpulan hak asasi manusia.
Sampaikan mesej jelas
Kebanyakan pemogok lapar mahu menyampaikan mesej yang jelas menolak penindasan selain menuntut 'suara' mereka didengar di peringkat antarabangsa.
Mereka juga berharap tidak menemui ajal akibat tindakan itu kerana antara matlamat utama adalah untuk meraih simpati orang ramai selain memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya mengubah tindakan atau polisi asal.
Keadaan kesihatan pemogok lapar boleh menjadi merosot apabila tindakan itu dilakukan selama beberapa bulan walaupun sebahagian besar hanya mampu bertahan dalam tempoh beberapa minggu demi untuk mencapai objektif mereka.
Pada awal abad ke-20, pemberi hak mengundi di Britain dan Amerika adalah yang pertama menggunakan kisah mogok lapar di media yang memfokuskan kesan buruk tindakan itu pada tubuh individu selain tujuan protes mereka.
Selepas mogok lapar pada 1917, Alice Paul dibebaskan dari penjara dan berkempen bagi memenangi undi hak wanita untuk memilih di Senat AS.
Paul telah memberi inspirasi kepada aktivis di seluruh negara untuk mempengaruhi penggubal undang-undang di negeri masing-masing bagi meratifikasi Pindaan ke-19 Perlembagaan AS yang memberikan hak mengundi kepada golongan wanita.
Selain itu, pemogok lapar yang dipenjarakan berjaya membuktikan mampu bertahan untuk terus hidup seperti bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela bersama rakan banduan lain pada 1966 dan pemimpin pembangkang Rusia, Alexei Navalny pada 2021.
Ketika ini, tindakan mogok lapar lebih sinonim dengan tahanan Palestin yang ditempatkan di penjara Israel.
Perjuangan mereka yang bermati-matian mahu menentang penindasan rejim Zionis masih gagal mendapat perhatian komuniti antarabangsa hingga meragut nyawa salah seorang pejuang usaha itu sejak lebih sedekad lalu iaitu Khader Adnan yang dilaporkan meninggal dunia pada Selasa setelah mogok lapar selama 87 hari.
Mangsa penindasan Israel
Setelah berita pemergian beliau mendapat liputan meluas media seluruh dunia, parti politik Palestin melancarkan mogok umum di Tebing Barat malah turut menutup operasi premis perniagaan dan institusi pendidikan.
Nasib yang menimpa Khader dikhuatiri berulang selepas tahanan Palestin di Penjara Ofer di Tebing Barat juga nekad mogok lapar sebagai membantah kematiannya ketika berada di bawah tahanan Israel.
Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh mendakwa rejim Tel Aviv melakukan pembunuhan yang disengajakan kerana menolak permohonan Khader untuk dibebaskan, mengabaikan rawatan dan tidak memindahkannya ke pusat perubatan walaupun keadaan kesihatannya semakin merosot.
Sejak 1970, Khader merupakan tahanan Palestin ketujuh yang meninggal dunia akibat mogok lapar di penjara Israel.
Tahanan pertama ialah Abdel Qader Abu al-Fahm disusuli empat tahanan pada 1980 dan satu lagi kematian dilaporkan pada 1992.
Menurut Persatuan Tahanan Palestin, seramai 4,900 tahanan Palestin ditempatkan di penjara Israel dan kira-kira 1,000 daripadanya diletakkan di bawah penahanan pentadbiran yang merupakan angka tertinggi sejak 2003. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca