KUANTAN - Permintaan dan pasaran eksport durian Malaysia tidak mungkin terjejas walaupun China dijangka menghasilkan raja buah itu dalam skala besar.
Pekebun durian di Raub, Nikcy Koh Kuan Heng, 35, berkata, ini kerana durian musang king Malaysia mempunyai kualiti, rasa yang sedap dan menepati cita rasa penggemar sama ada dari dalam atau luar negara.
Menurutnya, persekitaran dan tanah yang subur di negara ini menjadi faktor durian keluaran Malaysia lebih unik berbanding durian di Thailand dan Vietnam.
"Durian kita premium dan ada penggemar tersendiri. Kalau ikutkan bukan sahaja di China atau Singapura, tapi seluruh dunia suka durian kita. Tekstur dan rasa durian Malaysia tiada tandingannya di dunia.
"Jadi, kita yakin permintaan terhadap durian Malaysia khususnya musang king tidak terjejas meskipun kita akan berhadapan persaingan pengeluaran raja buah dari China,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Nicky yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Tanaman Industri Daerah Raub menjelaskan, kualiti musang king Raub telah diakui kerana ia telah melalui proses penjagaan dan pengurusan kebun yang baik.
"Proses tersebut dilakukan bagi memastikan durian musang king bermutu tinggi dan menjadi pilihan kepada penggemar durian,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Fruct Land (M) Sdn Bhd, Chaing Mei Soon, 43, turut menjangkakan pengeluaran durian di China tidak memberi kesan kepada pasaran eksport negara.
Menurutnya, kualiti dan rasa durian yang dihasilkan oleh China pada masa depan tidak akan menjadi lebih baik daripada durian musang king Malaysia.
"Mulai tahun ini, Hainan, China menyatakan mereka sedang mengeluarkan durian, tetapi kami mendapati ramai rakan di China masih mahukan durian dari Malaysia.
"Ini kerana isi durian Hainan lebih kecil berbanding buah durian musang king Malaysia dan rasanya juga lebih tawar.
"Selain itu, walaupun musang king ada dihasilkan di Indonesia, Thailand dan Vietnam, ia tidak memberi kesan kerana kualitinya lebih rendah berbanding musang king Malaysia,” ujarnya yang hampir 10 tahun menceburi bidang jual beli dan eksport durian ke luar negara.
Ditanya mengenai permintaan durian musang king dari China pada tahun ini, Mei Soon berkata, pihaknya menerima pesanan durian untuk musim seterusnya selepas China membuka pasaran mereka baru-baru ini.
"Oleh itu, saya yakin eksport durian pada musim seterusnya akan meningkat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca