HARI Raya Aidilfitri adalah kemuncak kepada perjuangan umat Islam melawan hawa nafsu dan dugaan sepanjang Ramadan.
Perjuangan melawan musuh yang tidak kelihatan memerlukan komitmen tinggi dan iman atau kepercayaan yang teguh.
Syaitan diikat sepanjang Ramadan, namun nafsu di dalam diri sendiri hanya dapat ditentang dengan tingkah laku dan doa berlandaskan al-Quran dan hadis.
Segala amalan dilakukan dengan penuh ketakwaan sepanjang Ramadan akan dibalas dengan ganjaran di akhirat oleh ALLAH SWT.
Umat Islam menyambut Aidilfitri sebagai tanda kemenangan dan kemuncak kepada perjuangan di bulan Ramadan.
Pelbagai persediaan dilakukan untuk memeriahkan hari kebesaran tersebut dan anak-anak di perantauan akan berusaha untuk pulang ke kampung halaman bagi bersama keluarga.
Yang tidak dapat pulang akan mengirim salam dan ucapan. Wang ringgit dibelanjakan untuk pakaian dan sajian makanan dan minuman. Sumbangan duit raya menjadi amalan yang tidak akan ditinggalkan.
Namun, banyak persamaan antara hari raya dan pilihan raya. Umat Islam berjuang dalam bulan Ramadan dan merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Demokrasi dirayakan dengan acara pemilihan wakil rakyat oleh pengundi.
Sebelum pilihan raya dijalankan, calon-calon pelbagai parti politik berjuang melalui kempen untuk mendapat sokongan.
Kemenangan hasil perjuangan tersebut dirayakan dengan pemilihan calon untuk menjadi wakil rakyat Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN).
Penentuan hari raya juga sering menjadi teka-teki kepada masyarakat. Begitu juga dengan hari mengundi.
Walaupun semua orang tahu pilihan raya akan diadakan setiap lima tahun, namun hanya Perdana Menteri yang mempunyai kuasa untuk memohon kepada Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.
Menjadi amalan, pembubaran Parlimen dan hari mengundi akan dilakukan apabila keadaan menguntungkan parti memerintah.
Ketidaktentuan ini sering menyebabkan pengundi terutama yang berdaftar sebagai pengundi di luar kawasan kediaman menghadapi masalah untuk pulang mengundi.
Adalah lebih selesa bagi seluruh masyarakat sekiranya tarikh mengundi ditetapkan lebih awal dan bukannya menjadi milik eksklusif Perdana Menteri.
Persediaan menyambut hari raya biasanya diadakan lebih awal dan umat Islam akan berbelanja bagi mendapatkan barangan terbaik di hari lebaran.
Begitu juga dengan pilihan raya. Parti-parti politik dan calon-calon akan berbelanja untuk bagi mendapatkan sokongan semasa pilihan raya.
Perbelanjaan politik ini berjalan setiap masa tetapi kemuncaknya adalah pada musim berkempen.
Walaupun undang-undang pilihan raya Malaysia menetapkan had perbelanjaan kempen sebanyak RM200,000 bagi calon Parlimen dan RM100,000 untuk calon DUN, semua orang dapat melihat jumlah sebenarnya adalah jauh melebihi had tersebut.
Memandangkan Malaysia tidak mempunyai undang-undang pembiayaan politik yang khusus, perbelanjaan oleh parti politik dan calon sering menjadi tajuk perbincangan yang panas tanpa penyelesaian menyeluruh.
Di dalam musim hari raya, ramai ahli masyarakat menyampaikan ucapan perayaan melalui media sosial. Ia lebih ringkas, mudah, tanpa halangan dan kos yang murah. Media sosial juga menjadi platform utama bagi kempen politik semenjak kebelakangan ini.
Apa yang menarik, media sosial menyediakan ruang sebaran lebih luas dengan pemantauan minimum.
Di platform media utama, kandungan pesanan politik akan disunting, manakala di media sosial, ahli masyarakat yang menerima pesanan daripada parti atau ahli politik yang perlu menjalankan suntingan secara kendiri bagi menentukan keesahan pesanan-pesanan tersebut. Kebijaksanaan pengundi adalah amat diperlukan.
Masyarakat Melayu sentiasa mendidik ahli keluarga mengenai adab bersosial menurut lunas-lunas budaya Melayu. Perkara ini dipandang berat terutama semasa merayakan hari lebaran.
Begitu juga dengan pendidikan pilihan raya, bukan sahaja bagi pengundi tetapi juga ahli-ahli politik terutama calon-calon di dalam pilihan raya.
Pendedahan terhadap undang-undang, peraturan dan perjalanan pilihan raya akan menjadikan proses pemilihan lancar dan pengundi dapat membuat pilihan dengan lebih sempurna dan hasil pilihan raya akan memberi lambang demokrasi sebenar.
Kestabilan politik dalam pentadbiran negara akan lebih terjamin dan membawa kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
Rakyat Malaysia di enam buah negeri akan merayakan demokrasi melalui pilihan raya negeri tidak lama lagi.
Pengundi yang berpengetahuan akan merayakan demokrasi dengan lebih meriah dan menghasilkan pentadbiran yang lebih cemerlang.
* Amerul Muner Mohammad ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya, JPM Pengasas Bersama Centre for Electoral Education and Democracy, Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca