SHAH ALAM - Tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin lain parti itu menandatangani Proklamasi Orang Melayu tanpa kehadiran kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan petunjuk parti berkenaan bakal meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.
Malah, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Razali Idris mengesahkan, beliau bersama dua lagi pemimpin Bersatu lain sudah menandatangani Proklamasi Orang Melayu lebih awal iaitu ketika mereka mengadakan pertemuan bagi memenuhi jemputan majlis berbuka puasa bersama mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, pada bulan lalu.
Razali berkata, selain beliau, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, sudah menandatangani proklamasi berkenaan atas kapasiti demi penyatuan Melayu/ Islam di negara ini.
"Sebelum itu, Bersatu selaku salah satu parti Melayu memang menerima jemputan untuk menyertai Perhimpunan Proklamasi Melayu yang disekat oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Jadi ia tiada kaitan dengan dakwaan wujud krisis dan Pas akan meninggal PN dalam masa terdekat kerana kami sepakat menyokong proklamasi berkenaan," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Razali juga turut berkongsi sekeping gambar memaparkan mereka sedang bermesra dengan Dr Mahathir ketika majlis berbuka puasa berkenaan.
Terdahulu media melaporkan Abdul Hadi dan beberapa pemimpin parti itu telah menyatakan sokongan terhadap usaha Dr Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi untuk mengumpulkan sekurang-kurang 1 juta tandatangan Proklamasi Orang Melayu menerusi media sosial.
Turut kelihatan bagi menyatakan sokongan adalah Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Perkara tersebut dikongsi oleh bekas pembantu Ahli Parlimen Langkawi iaitu Abu Bakar Yahya melalui hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Razali berkata, tujuan utama pemimpin Pas dan Bersatu menandatangani Proklamasi Orang Melayu adalah lebih besar berbanding hanya untuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada Julai nanti.
"Agenda kita adalah penyatuan orang Melayu-Islam tanpa mengira ideologi parti semata-mata.
"Oleh itu, kita bersetuju dengan agenda dikemukakan oleh Dr Mahathir untuk menyatukan orang Melayu Islam menerusi Proklamasi Orang Melayu," katanya.
Ketua Angkatan Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata, beliau tidak melihat tindakan pemimpin Pas menandatangani Proklamasi Orang Melayu tanpa wakil Bersatu merupakan isu besar kerana parti itu masih kekal bersama PN.
"Tiada masalah. Pas masih lagi bersama PN," kata Ahli Parlimen Machang itu dalam jawapan ringkas kepada Sinar Premium pada Rabu.
Klik di sini untuk terus membaca