SHAH ALAM - Proklamasi Orang Melayu yang telah ditandatangani beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas diyakini tidak akan memecahbelahkan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebaliknya proklamasi yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu adalah sebagai usaha untuk memperjuang dan memikirkan masalah serta masa depan orang Melayu.
Beliau dengan tegas menyangkal beberapa dakwaan yang mengatakan bahawa PN bakal berpecah susulan pembabitan beberapa pemimpin parti menyokong proklamasi itu.
"Proklamasi Orang Melayu yang Tun Mahathir usahakan ini secara peribadi saya tengok ia adalah usaha untuk memikirkan permasalahan, perjuangan orang Melayu dan sebagainya.
"Saya tidak nampak ia menyebabkan perpecahan di kalangan PN. Saya nampak kepimpinan tertinggi termasuk Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang pun tandatangan. Tiada masalah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada Rabu, Abdul Hadi dan beberapa pemimpin Pas telah hadir bertemu dengan dengan Tun Mahathir bagi menyokong dan menandatangani proklamasi berkenaan.
Selain itu, Ahmad Faizal, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid juga telah hadir memberi sokongan ketika majlis berbuka puasa anjuran Sekretariat Proklamasi Orang Melayu.
Menurut Ahmad Faizal, tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana pemimpin atau ahli dalam PN untuk turut sama dalam menyokong proklamasi itu.
Tegasnya, ia bukan usaha untuk menjatuhkan kerajaan malahan ia adalah berita baik bagi Kerajaan Perpaduan.
"Kita bukan bincang nak jatuhkan kerajaan, bukan cakap pasal perkara yang akan porak-perandakan Pakatan Harapan (PH). Tidak.
"Kenapa pula nak porak-perandakan negara apabila kita nak berbincang tentang masalah orang Melayu. Sepatutnya ia satu perkara yang baik.
"Ia juga baik untuk kerajaan sekarang. Apabila Melayu kaum majoriti bertindak untuk bersatu-padu, tentunya ia untuk keamanan, kebaikan kemakmuran negara,” jelasnya.
Ahmad Faizal juga berkata, perkara tersebut berkemungkinan akan dibincangkan dalam parti bagi memberi sokongan terhadap proklamasi itu.
"Bolehlah selepas ini kita bawa kepada perbincangan sama ada parti akan setuju atau tidak.
"Tetapi apa yang saya nampak secara individu, banyak pemimpin Melayu termasuk tertinggi Pas sudah tandatangan,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca