SHAH ALAM - Penguasaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mungkin tergugat jika Perikatan Nasional (PN) menjalinkan bekerjasama dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Gerakan Tanah Air (GTA), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh memandang rendah keupayaan Dr Mahathir susulan kejayaannya mempengaruhi pemimpin utama Pas, untuk menandatangani Proklamasi Orang Melayu, di kediamannya di Putrajaya, beberapa hari lalu.
Antara pemimpin Pas yang sudah menandatangani Proklamasi Orang Melayu termasuklah, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Ini bermakna Pas mungkin merancang untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir pada PRN nanti, namun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum berbuat demikian," kata Mazlan kepada Sinar Premium pada Khamis.
Setakat ini, hanya tiga pemimpin Bersatu menandatangani Proklamasi Orang Melayu atas kapasiti peribadi iaitu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agungnya, Datuk Razali Idris dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid "Apakah Bersatu juga akan turut bersama Dr Mahathir dalam menghadapi PRN nanti adalah masih kurang jelas," tambah Mazlan.
Pun begitu Mazlan percaya Bersatu mungkin terpaksa bergabung dengan Dr Mahathir dan GTA jika mereka mahu menumpaskan gabungan PH-BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRN nanti.
"Saya rasa akhirnya Dr Mahathir akan bergabung dengan PN kerana matlamat mereka hanyalah satu iaitu menentang Anwar dan kerajaan campuran turut dianggotai oleh BN sekarang.
"Jika semua parti Melayu/Islam termasuk Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menerima Proklamasi Orang Melayu, maka lengkaplah dan sudah pastinya Dr Mahathir akan kembali memimpin PN serta GTA untuk menentang gabungan PH-BN pada PRN nanti.
"Sekiranya penggabungan itu dapat direalisasikan, maka kita akan menyaksikan persaingan sengit antara PH-BN dan PN pada kempen PRN di enam negeri nanti," katanya.
Mazlan menjelaskan Dr Mahathir perlu bergabung dengan PN demi survival politiknya susulan kekalahan teruk GTA dan beliau sendiri tewas di Parlimen Langkawi, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Nampaknya perjuangan dibawa Dr Mahathir sendiri ditolak orang Melayu pada PRU15 lalu. Namun apabila bersama sekarang dengan Pas yang membawa agenda Melayu/Islam, mungkin Dr Mahathir mampu membantu pembangkang menentang kerajaan campuran Anwar.
"Sebab itulah saya melihat Dr Mahathir hanya mempunyai dua pilihan jika beliau mahu menjayakan misi politiknya iaitu menyertai PH atau bekerjasama dengan PN. Sebelum PRU15 Dr Mahathir pernah menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan PH dan PN namun kedua-dua gabungan parti itu menolaknya," katanya.
Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) dari Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat pula percaya, tulisan dan kata-kata Dr Mahathir yang tajam mampu membantu PN menidakkan kejayaan dan dakwaan ethno-nasionalis terhadap Kerajaan Madani.
Bagaimanapun Chin Huat tidak melihat bahawa penyertaan Dr Mahathir akan memberi undi tambahan kerana pengaruh bekas Perdana Menteri dua kali itu telah berakhir semasa Langkah Sheraton sungguhpun beliau enggan mengakuinya.
Sebaliknya Chin Huat menegaskan, kemasukan bekas pemimpin kanan UMNO seperti Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Annuar Musa sebenarnya memberikan impak sokongan lebih besar kepada PN berbanding kerjasama dengan Dr Mahathir.
"Sejauh mana serangan etno-nasionalis Melayu-Muslim ini berjaya untuk mengembangkan gelombang hijau adalah bergantung kepada beberapa faktor antaranya populariti dan kewibawaan Anwar selaku Perdana Menteri.
"Anwar nampak lebih tertonjol di dalam dan luar negara berbanding Muhyiddin. Namun, sejauh mana populariti ini boleh berpindah kepada Kerajaan Madani? UMNO pula nampak masih sama seperti tahun-tahun pra-2018," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca