SHAH ALAM - Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat membangun ketika ini berpotensi menjejaskan pasaran pekerjaan sedia ada di seluruh dunia termasuk Malaysia pada masa akan datang.
Perkembangan itu menjadikan fungsi AI pada masa hadapan semakin berkemampuan serta berdaya saing dalam melaksanakan tugasan yang sebelum ini dilakukan manusia.
Sebagai contoh, penciptaan mesin atau sistem yang dikuasakan AI kini boleh melakukan tugas yang kompleks seperti menganalisis data, menterjemah bahasa, mengecam imej dan pelbagai lagi fungsi dengan tahap kelajuan serta ketepatan lebih tinggi berbanding kemampuan manusia.
Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), Dr Ir Muhidin Arifin berkata, antara bidang pekerjaan yang diramalkan terjejas dan mungkin lenyap akibat penggunaan teknologi AI ialah buruh manual, tugasan pentadbiran, kemasukan dan analisis data, pengangkutan serta jualan dan pemasaran.
Selain itu, katanya, turut terjejas ialah bidang perkhidmatan kewangan, penjagaan kesiha-tan, perundangan, kewartawanan dan sumber manusia.
"Akibatnya, beberapa pekerjaan dan bidang mungkin menjadi usang kerana AI menjadi lebih berleluasa dalam pelbagai industri dan organisasi.
"Namun, pekerjaan dan bidang baharu juga akan muncul walaupun sesetengah pekerjaan dan bidang mungkin terjejas oleh penggunaan AI ini.
"Memandangkan AI semakin berleluasa, dijangka terdapat peningkatan permintaan untuk pekerjaan lain seperti saintis data, jurutera AI dan ahli etika AI,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada Rabu, laporan terbaharu Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyatakan gangguan besar akan berlaku dalam pasaran pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang apabila lebih banyak syarikat mengguna pakai AI dan ekonomi global bertambah buruk.
AI serta keadaan ekonomi dan sosial dijangka mengakibatkan 83 juta hilang pekerjaan, dengan hanya 69 juta pekerjaan diwujudkan menjelang tahun 2027.
Sementara itu, Muhidin berkata, sukar untuk meramalkan tempoh kesan ketara penggunaan AI itu di mana-mana negara membangun termasuk Malaysia kerana ia bergantung kepada pelbagai faktor seperti kemajuan teknologi, arah aliran ekonomi dan sosial, dasar, peraturan dan kawal selia kerangka kerja.
Bagaimanapun, katanya, AI sudah mula memberi impak kepada Malaysia dengan minat dan pelaburan yang semakin meningkat dalam penyelidikan dan pembangunan, serta penggunaannya dalam pelbagai industri seperti kewangan, penjagaan kesihatan dan pembuatan.
"Kerajaan Malaysia juga telah mengenal pasti AI sebagai bidang utama untuk pembangunan dan telah melancarkan inisiatif seperti Rangka Kerja AI Nasional (National AI Framework) dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (Malaysia Digital Economy Blueprint) untuk menggalakkan pertumbuhan ekosistem AI dan menyokong penggunaan AI dalam pelbagai sektor.
"Oleh demikian, kemungkinan besar kesan AI akan terus berkembang pesat di Malaysia pada tahun-tahun mendatang, memandangkan negara meletakkan dirinya sebagai peneraju serantau dalam pembangunan dan penggunaan AI,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Muhidin, beberapa pendekatan boleh dipertimbangkan segera untuk membantu mengurangkan potensi kesan negatif AI serta memastikan bahawa manfaatnya dimaksimumkan.
Antaranya dengan menyediakan program pendidikan dan modul latihan untuk membantu pekerja memperoleh kemahiran diperlukan untuk bekerja bersama-sama teknologi AI.
"Selain itu, pelaburan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan akan pasti membantu memacu inovasi dalam teknologi AI dan membantu perniagaan kekal di hadapan.
"Peraturan dan garis panduan yang jelas mengenai penggunaan AI yang beretika dan bertanggungjawab akan menjadi penting untuk memastikan ia digunakan dengan cara yang selamat dan bermanfaat untuk masyarakat dan industri secara keseluruhan,” kata beliau.
Perkasakan TVET untuk graduan bersaing dengan teknologi AI Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyarankan agar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) diperkasakanm berikutan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang dan dijangka akan menjejaskan beberapa bidang pekerjaan di negara ini.
Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, ia bagi memastikan graduan mempunyai kemahiran tinggi, sekali gus dapat bersaing dalam pasaran pekerjaan yang semakin mencabar.
"Paling penting sekarang ialah menyediakan pekerja untuk bersedia dengan arus pekerjaan baharu dari segi pengetahuan dan kemahiran.
"Saya yakin, kalau kita perkasakan TVET dan institusi pengajian di negara ini bagaimana untuk bersedia menghadapi ancaman teknologi AI, sebenarnya kita akan dapat menangani isu berkenaan.
"Paling penting adalah meningkatkan kepakaran dan memperkasakan TVET bagi membantu pekerja pada hari ini bersedia menjadi pekerja yang berkemahiran tinggi dan kompeten,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Selain itu, Mohd Effendy berkata, keberkesanan pembelajaran di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) dan TVET dapat memberi persediaan kepada graduan untuk menyesuaikan diri dalam bidang melibatkan AI.
Pada masa sama, katanya, kerajaan sewajarnya memastikan graduan yang mempunyai kemahiran tinggi bekerja dalam bidang yang tepat dan bersesuaian.
Pekerjaan yang diramal terjejas - Buruh - Penyambut tetamu - Pemandu teksi, bas dan lori - Penganalisis dan statistik data - Perkhidmatan pelanggan - Eksekutif pemasaran - Jurujual - Pegawai khidmat kewangan - Pembantu perubatan - Pengurus projek - Penulis atau penterjemah - Pegawai sumber manusia - Jurugambar - Pereka dalaman - Wartawan - Pegawai perundangan
Klik di sini untuk terus membaca