SHAH ALAM - Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menjelaskan universiti tidak perlu menunggu sehingga lima tahun untuk membuat penilaian semula program ditawarkan kepada pelajar di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, ini kerana bidang seperti teknologi maklumat (IT) dan teknologi sentiasa berubah serta bergerak pantas sesuai mengikut peredaran masa.
"Universiti selalu peka dan prihatin terhadap perkembangan semasa dan pada masa akan datang, maka sebab itu program dan kursus ditawarkan akan sentiasa dinilai dari semasa ke semasa.
"Penilaian (kursus ditawarkan) tersebut maksimum lima tahun tetapi mereka (pihak universiti) boleh laksanakan secepat mungkin sekiranya ada keperluan sebagai contoh program berkaitan IT dan teknologi.
"Bidang berkenaan tak boleh tunggu sehingga lima tahun untuk buat penilaian semula sebab teknologi berubah hampir setiap hari.
Jadi perkara sedemikian (penilaian) akan sentiasa mengoptimumkan dan meletakkan pelajar dalam bidang itu di peringkat yang terkini,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Pada Rabu, laporan terbaharu Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyatakan gangguan besar akan berlaku dalam pasaran pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang apabila lebih banyak syarikat mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi global bertambah buruk.
AI serta keadaan ekonomi dan sosial dijangka mengakibatkan 83 juta hilang pekerjaan, dengan hanya 69 juta pekerjaan diwujudkan menjelang tahun 2027.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini mampu memberi persediaan kepada pelajar bagi memenuhi pasaran kerja pada masa hadapan kerana setiap kursus dan program pengajian ditawarkan sentiasa dinilai dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, pihaknya telah mewajibkan universiti perlu membuat penilaian semula program ditawarkan setiap lima tahun bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang pekerjaan terkini selain memenuhi kehendak pasaran.
Mengulas jangkaan kursus yang akan lenyap dalam universiti disebabkan perkembangan AI, beliau menjelaskan tiada sebarang ketetapan kursus perlu dimansuhkan kerana ia bergantung menerusi kajian pasaran dibuat oleh setiap IPT di negara ini.
Menurut Mohammad Shatar, pihak IPT mempunyai kebebasan untuk menawarkan program atau kursus di universiti masing-masing.
Jelas beliau, sekiranya mereka mendapati program tersebut tidak relevan untuk pasaran pekerjaan pada masa akan datang, maka mereka berhak membuat keputusan mengugurkan kursus tersebut daripada ditawarkan.
"Ini merupakan kebebasan kita beri pada pihak universiti untuk laksanakan. Jadi kita sebagai badan mengawal selia kualiti tidak akan mencampuri urusan tersebut kerana telah menetapkan bahawa setiap program ditawarkan perlu berdasarkan kepada kajian pasaran,” ulasnya.
AI hanya perlukan dua minit untuk hasilkan gambar Sementara itu, Pengarah Urusan Myclass Technologies Sdn Bhd, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan gambar dilihat semakin berkembang tidak kira di Malaysia mahupun di luar negara kerana ia dikatakan lebih pantas dan menjimatkan.
Sejak dahulu lagi, kebanyakan foto sesuatu produk dalam iklan sama ada menerusi video atau gambar, majoritinya bukan tulen, katanya.
"Sebelum ini, bagi menghasilkan gambar menarik, kita memerlukan kemahiran seseorang dalam sesuatu bidang contohnya, penyuntingan menggunakan Photoshop, memastikan pencahayaan, sudut dan teknik fotografi yang betul.
"Bagaimanapun, jika kita lihat semula dengan wujudnya ‘Images Generative AI’ dalam teknologi penghasilan gambar, ia adalah jauh lebih murah dan mudah serta pantas,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambah Zaharuddin, penghasilan gambar dengan menggunakan AI adalah lebih baik kerana ia menjimatkan masa, kos, mudah diurus dan hasilnya sangat memberangsangkan serta kualiti foto juga boleh dijual.
Jelasnya, AI hanya memerlukan masa kurang daripada dua minit untuk menghasilkan empat keping gambar mengikut arahan dalam bentuk teks yang dinamakan ‘Prompt’.
"Menariknya tentang AI adalah kita hanya perlu memperincikan aspek gambar yang diinginkan seperti latar belakang gambar, warna, bentuk, sudut, suasana, jantina, warganegara dan sebagainya. Dengan sekali hantaran ke AI, gambar dengan ciri terbabit akan siap dalam tempoh tersebut.
"Hanya menggunakan teknologi AI juga, kita lebih mudah mendapatkan gambar yang diinginkan tanpa perlu mengeluarkan banyak kos untuk menggunakan kepakaran seseorang dalam penghasilan sekeping foto,” ujarnya. Bukan itu sahaja, Zaharuddin menjelaskan bahawa penggunaan AI dalam penghasilan gambar adalah lebih memuaskan dan selamat kerana tidak ada wujudnya istilah hak cipta.
Dalam pada itu, Zaharuddin turut memaklumkan bahawa penggunaan teknologi AI dalam industri gambar perlu diperluaskan untuk membantu lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Bagaimanapun, beliau menjelaskan teknologi AI itu perlu juga disusuli dengan pengajaran adab, etika dan hukum agama.
Klik di sini untuk terus membaca