MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu yang dijangka diadakan Julai hadapan, ‘perang’ politik di antara Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin ‘panas’ selepas perayaan Aidilfitri.
Bermula isu ‘picisan’ seperti pelaksanaan Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di enam negeri berkenaan sehinggalah spekulasi gerakan menjatuhkan kerajaan ala Langkah Sheraton yang didakwa didalangi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan sebilangan pemimpin Pas, tumpuan rakyat pastinya terarah kepada kedudukan Anwar di Putrajaya yang didakwa semakin ‘goyah’.
Kehangatan spekulasi itu diperhebatkan lagi dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menyuarakan kebimbangan mengenainya dan menggesa desas-desus perkara berkenaan perlu dihentikan demi kepentingan rakyat.
Lebih memburukkan keadaan, berlaku insiden pertikaman lidah di antara beberapa pemimpin UMNO, MCA, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) berhubung isu permohonan pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan polisi-polisi terkini Kerajaan Perpaduan dilihat mampu meretakkan kerjasama politik di antara dua bekas seteru lama iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Dengan ramai pemerhati politik melihat keputusan PRN enam negeri kelak bakal menjadi penentu kelangsungan hubungan koalisi BN-PH, timbul tanda-tanya sama ada pembentukan koalisi baharu yang turut melibatkan UMNO dan DAP itu boleh dikekalkan keharmonian sekurang-kurangnya sebelum PRN berkenaan.
Menjawab polemik itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub mengakui hubungan politik BN-PH yang terjalin sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan rapuh dan perlu diuruskan dengan rapi oleh kepimpinan kedua-dua koalisi berkenaan.
"Berbalik kepada kenyataan ‘tembak kaki sendiri’, ini memberi kesan kepada pengukuhan kerjasama Kerajaan Perpaduan.
"Veteran UMNO merayu supaya semua pemimpin daripada BN dan PH berhenti daripada membuat sebarang kenyataan kontroversi bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan mendepani PRN enam negeri,” katanya kepada Sinar Premium.
Mustapha juga tidak menolak andaian punca perbalahan politik berlaku disebabkan polemik pembahagian kerusi pilihan raya di enam negeri yang masih tidak selesai di antara BN-PH.
"Ada kemungkinan Amanah bertindak agresif untuk beri tekanan kepada UMNO bagi berkompromi kerusi pilihan raya terutama di tiga negeri dikuasai PN,” jelasnya.
Selain itu, Mustapha turut melihat kecenderungan segelintir pemimpin PH yang masih ‘berdendam’ terhadap ‘dosa-dosa’ Najib sewaktu menjadi Perdana Menteri, menjadi faktor mengapa hubungan BN-PH atau secara realistiknya UMNO-DAP masih sukar dijayakan.
Untuk menjayakan hubungan BN-PH mendepani PRN enam negeri katanya, kunci pengukuhan terletak di tangan UMNO dan DAP.
Jika tidak dikawal tegasnya, barah perbalahan antara pemimpin dua parti itu akan menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan.
"Sebab itu saya minta semua pemimpin BN-PH kena matang dengan Sekretariat Kerajaan Perpaduan serta Majlis Timbang Tara Kerajaan Perpaduan sepatutnya memainkan peranan utama menyelesaikan isu dalaman parti-parti dalam kerajaan,” tegasnya.
Contohi negara luar Pandangan Mustapha turut disokong bekas Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago yang kini dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN).
Jelas Santiago, pemimpin Kerajaan Perpaduan perlu mencontohi pemimpin negara Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan Jerman yang bersikap matang dalam memastikan kerajaan campuran berfungsi secara efektif demi kepentingan rakyat.
"Di negara luar seperti Jerman dan Indonesia, kerajaan campuran yang menggabungkan musuh-musuh politik sudah menjadi trend terkini di seluruh dunia.
"Sebagai contoh di Indonesia, Presidennya, Joko Widodo atau Jokowi dari Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) melantik Jeneral Prabowo Subianto dari Parti Gerindra dalam kabinet republik itu walaupun mereka sama-sama bersaing sebagai calon Presiden.
"Bila Jokowi bergabung tenaga dengan Prabowo, sudah tidak timbul isu kestabilan kerajaan republik itu kerana kedua-dua pemimpin itu memahami aspirasi dan tanggungjawab memastikan jentera kerajaan bergerak sebagai satu unit,” ulasnya.
Menjawab kebimbangan kestabilan Kerajaan Perpaduan masih boleh digugat dari luar, Santiago mencadangkan tarikh pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) ditetapkan lebih awal dengan usul itu perlu dimuktamadkan di peringkat Parlimen segera.
"Jika tarikh pelaksanaan PRU16 untuk tempoh lima tahun lagi ditetapkan lebih awal, usaha mana-mana pihak untuk menjatuhkan kerajaan yang baharu ditubuhkan sudah dianggap tidak relevan kerana usul penetapan tarikh berkenaan sudah disokong oleh 222 ahli Parlimen dalam persidangan Dewan Rakyat.
"Perlu ingat, perkara ini diamalkan di Amerika Syarikat dan Indonesia dan ia terbukti mengatasi masalah kucar-kacir politik disebabkan usaha menjatuhkan kerajaan oleh pihak tertentu,” jelas Santiago lagi.
Beliau juga meminta UMNO mengetepikan polemik perbalahan dalaman dengan pemimpin PH, sebaliknya lebih fokus menyelesaikan usaha memenangi semula undi Melayu yang semakin hilang pasca PRU14 dan PRU15.
"Saya berpendapat PRN enam negeri bakal menjadi platform penentuan sama ada UMNO masih diterima pengundi Melayu atau tidak.
"Saya fikir lebih baik UMNO cari solusi untuk meraih kembali sokongan pengundi segmen berbanding ‘bertengkar’ dengan pemimpin PH.
"UMNO perlu ingat, terdapat beberapa kajian politik menunjukkan penyertaan UMNO-BN sebagai sekutu baharu PH bukanlah benar-benar membantu PH.
"Justeru, selepas keputusan PRN enam negeri dicapai, saya fikir adalah lebih baik PH menilai semula kerjasama dengan BN untuk jangka masa panjang demi kebaikan PH sendiri,” luahnya.
Klik di sini untuk terus membaca