BIARPUN mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), namun tiada jaminan mereka mampu menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kolaborasi... Klik di sini untuk terus membaca

BIARPUN mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), namun tiada jaminan mereka mampu menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kolaborasi antara bekas Ahli Parlimen Langkawi dengan PN itu juga tidak memberikan kelebihan kepada gabungan pembangkang untuk menang mudah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi mereka, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Kerjasama menerusi Proklamasi Orang Melayu itu juga dilihat tidak akan menjejaskan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri kerana majoriti rakyat Malaysia sudah kenal warna sebenar Dr Mahathir selepas beliau menjadi Perdana Menteri dua kali.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, beliau pelik dengan tindakan Dr Mahathir yang tiba-tiba mahu memperjuangkan nasib dan kepentingan kepentingan orang Melayu ketika ini.

Jeniri

Sedangkan kata Jeniri, peluang terbaik Dr Mahathir untuk membuktikan keikhlasan dirinya itu adalah semasa beliau berkuasa dan menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali sebelum ini.

"Jadi kenapa selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan tiada kuasa, beliau (Dr Mahathir) sibuk melakukan macam-macam kononnya demi memperjuangkan nasib orang Melayu.

"Semua orang tahu ini hanya permainan politik Dr Mahathir kerana sebenarnya bekas Perdana Menteri itu sudah tidak relevan lagi dan kredibilitinya tercalar teruk selepas menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya sendiri, pada 2018,” katanya kepada Sinar Premium.

Justeru Jeniri menjelaskan, kerjasama Dr Mahathir dan Pas menerusi Proklamasi Orang Melayu dinilai tidak banyak membantu kemenangan PN dalam PRN nanti kerana rakyat sudah tahu tujuan mereka berbuat demikian adalah demi survival politik masing-masing.

"Kerajaan campuran dipimpin Anwar yang juga seorang nasionalisme, tahu apa yang perlu dilakukan demi kebaikan orang Melayu-Islam sekarang.

"Ahli Parlimen Tambun itu juga perlu memastikan undi Melayu bersamanya kerana sokongan kaum Bumiputera terhadap PH memang rendah pada PRU15 lalu.

"Jadi Anwar tiada pilihan lain melainkan melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha memastikan pengundi Melayu dapat ditambat kembali, jika tidak gabungan PH-BN akan tewas dalam PRN di enam negeri nanti,” katanya.

Usaha satukan pembangkang

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, kerjasama Pas yang dipimpin oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi dengan Dr Mahathir bukan perkara baharu kerana sebelum ini mereka pernah berkolaborasi menjayakan Perhimpunan Sejuta Umat pada tahun 2018.

Anis Anwar

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) dan Abdul Hadi turut mengadakan pertemuan pada tahun lalu bagi membincangkan kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15.

Malah, Abdul Hadi merupakan antara pemimpin politik terawal yang menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sebelum berlakunya pertukaran pentadbiran kerajaan daripada PH ke PN, pada 2020.

Jadi Anis Anwar berkata, langkah politik antara Abdul Hadi dengan Dr Mahathir boleh dinilai sebagai langkah menyatupadukan parti pembangkang yang mewakili blok pengundi Melayu.

"Walaupun Dr Mahathir hilang pengaruh politik di peringkat massa dengan ‘hangus’ wang taruhan pada PRU15, namun beliau masih memiliki kelebihan sumber yang lain untuk memberi nilai tambah kepada parti pembangkang bagi mencabar dominasi kerajaan perpaduan menjelang PRN.

"PRN yang melibatkan enam negeri menyaksikan respons pengundi Melayu terhadap landskap politik pasca PRU15 dan kerajaan pimpinan Anwar sudah pasti perlu membuktikan kejayaannya menambat hati masyarakat Melayu,” katanya.

Anis Anwar menambah, sekiranya keputusan PRN khususnya kerusi Melayu masih tidak berubah dari PRU15, maka secara tidak langsung BN akan dipaksa melakukan perkiraan politik terhadap kelangsungan partinya di kerusi Melayu menerusi kerjasama semasa, sekali gus memberi tekanan psikologi kepada parti komponen kerajaan berhubung hayat kerajaan pimpinan Anwar.

Hanya impak kecil

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis pula menegaskan, kerjasama Dr Mahathir dan PN dijangka hanya memberi impak kecil kepada kerajaan pimpinan Anwar.

Muhammad Shamshinor

Muhammad Shamsinor berkata, isu penyatuan parti Melayu-Islam yang cuba diketengahkan oleh Dr Mahathir tidak memberi impak besar kepada usaha menjatuhkan kerajaan kerana sekarang bukanlah waktu sesuai untuk berbuat demikian.

"Sekarang bukan waktu sesuai untuk kita menukar kerajaan kerana kita berada dalam tempoh bertenang untuk memaju dan memacu semula pertumbuhan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

"Sepatutnya semua parti politik sama ada blok pembangkang mahupun penyokong kerajaan, perlu bersatu hati dan berpadu tenaga serta idea untuk memajukan ekonomi serta meningkatkan kemajuan negara berbanding politik kepartian atau kehendak peribadi,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Shamsinor berkata, beliau tidak menolak kemungkinan isu penyatuan Melayu dan kerjasama PN-Dr Mahathir akan memberi impak minimum kepada pola sokongan pada PRN nanti terutama dalam kalangan pengundi warga emas atau mereka mengundi di saluran satu nanti.

Klik di sini untuk terus membaca