SALAH laku remaja sering diperkatakan dan menjadi barah dalam masyarakat. Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2014 melaporkan kes jenayah melibatkan remaja bawah umur antara tahun 2009 hingga 2013 ialah 25,778 kes.
Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia pula memaparkan penagihan dadah dalam kalangan belia antara tahun 2013 hingga 2021 ialah 18, 205 orang.
Pelbagai salah laku remaja seperti hamil luar nikah, rempit, dadah, merosakkan harta benda awam, mencuri, samun, rogol, khalwat dan penzinaan yang membelenggu sistem sosial.
Oleh itu, langkah proaktif perlu diambil bagi menangani isu yang meruncing dalam masyarakat itu. Pelbagai pihak tampil dengan mengemukakan beberapa faktor yang menjerumuskan remaja dalam masalah sosial seperti faktor kerohanian, diri sendiri, rakan, sikap ingin mencuba, kurang didikan agama dan ketahanan diri yang lemah dan lain-lain.
Namun demikian, harus disedari bahawa langkah yang jitu dan komprehensif perlu segera diambil bagi memastikan remaja di negara ini berada pada landasan yang betul dalam usaha membangunkan masyarakat madani.
Pembentukan akhlak yang berteraskan nilai-nilai murni wajar diberi keutamaan dalam dalam semua aktiviti khususnya dalam sistem pendidikan sama ada di peringkat rendah mahu pun pendidikan tinggi.
Ibn Khaldun menyatakan jatuh bangun sesebuah negara dan tamadun adalah bergantung kepada pegangan nilai-nilai murni yang tinggi oleh masyarakat.
Pegangan nilai ini merupakan asas utama yang perlu dimiliki oleh setiap ahli masyarakat yang menjadi panduan ke atas tindakan.
Kehebatan sesebuah tamadun itu bukan sahaja bergantung kepada ilmu yang tinggi tetapi juga kemurnian akhlak.
Kombinasi antara akhlak dan ilmu menjadikan kemajuan sesebuah negara dan tamadun lebih bermakna.
Kemajuan yang tidak selari dengan akhlak dan pegangan nilai akan membawa kepada pelbagai masalah sosial dan seterusnya merosakkan sesebuah tamadun.
Perkasa akhlak
Oleh demikian, di samping memantapkan pembangunan ilmu seiring peredaran zaman, proses memperkasakan akhlak perlu diberi perhatian. Apabila jiwa disokong oleh ilmu yang baik, maka akan menghasilkan akhlak yang terpuji.
Oleh itu, pendidikan dilihat sebagai alat utama dalam membangunkan akhlak remaja dengan pemupukan nilai-nilai murni.
Sistem pendidikan negara amat memberi penekanan terhadap akhlak bagi membentuk insan seimbang yang menguasai ilmu pengetahuan seterusnya menghayati nilai-nilai murni.
Ini kerana matlamat pendidikan ialah untuk membangunkan manusia yang berilmu dan berbudi pekerti mulia.
Pembentukan akhlak yang diberi penekanan di dalam sistem pendidikan sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk melahirkan generasi yang memiliki penghayatan nilai hanya dapat direalisasikan jika memastikan setiap nilai yang diterapkan dalam aktiviti pendidikan seimbang dengan ilmu akademik.
Memperkasakan pendidikan nilai dalam aktiviti pendidikan boleh menjamin pembentukan akhlak yang mulia.
Lemahnya penghayatan nilai-nilai murni dalam diri menjadi punca ke arah keruntuhan akhlak.
Justeru, peranan pendidik adalah penting bagi memastikan pendidikan nilai merupakan antara agenda utama semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.
Penghayatan nilai perlu dipupuk dengan berkesan, dinyatakan dengan tegas dan dihubungkaitkan dengan kehidupan seharian dan juga isu-isu yang berlaku dalam masyarakat. Ia perlu dilakukan melalui pendekatan kognitif seperti perbincangan mengenai sesuatu nilai.
Sebagai contoh semasa melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, pendidik boleh menerapkan elemen nilai seperti bertanggungjawab dalam aktiviti yang dirancangkan.
Elemen nilai yang diterapkan perlu dikaitkan dengan situasi kehidupan sebenar melalui kaedah perbincangan atau lain-lain kaedah yang sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran.
Kaedah ini akan memberi implikasi positif kepada pelajar bahawa nilai yang diterapkan dalam aktiviti pendidikan mempunyai kesinambungan dalam kehidupan dalam masyarakat.
Penerapan nilai murni juga boleh dilaksanakan menerusi teknik pemodelan.
Teknik ini memerlukan pendidik menjadi suri teladan atau role model. Warga pendidik perlu menjadi suri teladan untuk menunjukkan contoh teladan yang baik kepada pelajar dalam melaksanakan amalan nilai murni.
Kajian-kajian secara ilmiah jelas mendapati pendidik ialah contoh terbaik dari aspek keperibadian dan ianya sering menjadi ikutan pelajar.
Selain itu, pendidik yang mengamalkan nilai-nilai murni akan lebih di hormati oleh semua warga berbanding dengan yang tidak mengamalkan nilai.
Kaedah memberi penghargaan yang berbentuk peneguhan turut boleh dilaksanakan untuk menerapkan nilai-nilai murni kepada pelajar.
Apabila pelajar menunjukkan tingkah laku yang positif, pujian dan ganjaran daripada pendidik merupakan satu bentuk penghargaan kepada pelajar untuk terus bertingkah laku baik di samping memotivasikan untuk mengulanginya sebagai pendekatan dalam menerapkan nilai-nilai yang baik.
Sebagai kesimpulannya, hasil daripada akhlak yang mantap akan lahirlah insan yang berkeperibadian dan berwibawa tinggi.
Justeru, dengan menekankan kepada penghayatan nilai dalam semua aktiviti sosial, ekonomi, politik dan sebagainya akan memastikan kecelaruan dalam masyarakat dapat diatasi.
Ini selari dengan masyarakat madani yang mana sistem sosialnya berpegang kepada prinsip moral untuk menjamin kestabilan masyarakat.
* Dr Zarizi Ab Rahman ialah Timbalan Dekan, Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara
Klik di sini untuk terus membaca