SHAH ALAM - Penganalisis berpendapat tindakan saman-menyaman membabitkan figura besar negara hanya mendatangkan kesan negatif antaranya rakyat hilang kepercayaan terhadap pemimpin tersebut.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, penyelesaian melalui mahkamah itu adalah propaganda politik yang cuba diketengahkan agar imej dan kepercayaan ahli politik itu dapat ditingkatkan.
Menurutnya, mahkamah tidak sepatutnya dijadikan sebagai platform persaingan politik antara satu sama lain memandangkan ia akan menyebabkan seseorang yang didapati bersalah itu dipandang negatif oleh rakyat.
"Sudah semestinya salah seorang itu akan mendapat kemenangan di mahkamah nanti.
"Jika salah seorang pemimpin menang, maka salah pemimpin yang tewas itu semakin lama semakin kurang dipercayai oleh rakyat dan sudah tidak diyakini lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapannya di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ pada Mac lepas.
Mohammad Tawfik berkata, implikasi lain adalah politik negara dilihat tidak matang kerana sebagai pemimpin sepatutnya berucap berasaskan fakta ataupun yang boleh memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara.
"Bukan hanya sekadar bercakap untuk mendapatkan tepukan dan sorakan daripada rakyat semata-mata.
"Itu sebenarnya perlu ditunjukkan contoh oleh pemimpin, ahli politik yang rakyat mahukan.
"Jangan hanya sekadar bercakap kosong sehingga rakyat terpedaya dengan apa sahaja fakta ataupun apa sahaja ucapan yang diketengahkan oleh pemimpin politik,” ujarnya lagi.
Jelas beliau, rundingan merupakan kaedah terbaik dan paling mudah bagi pemimpin politik menyelesaikan kemelut sebelum dibawa ke mahkamah yang akhirnya mencalarkan imej baik mereka.
"Bagi saya, itu yang perlu dilakukan. Jangan jadikan mahkamah sebagai platform atau medan pertarungan yang menyebabkan rakyat semakin lama semakin benci, bosan dan lama-kelamaan mengundurkan diri daripada percaya terhadap politik negara,” tambahnya.
Sementara itu, penganalisis sosio-politik, Datuk M Periasamy berkata, perbuatan saman-menyaman dalam kalangan pemimpin politik merupakan satu kebiasaan di negara lain.
Katanya, selain memberi kesan terhadap pemikiran politik, rakyat juga menganggap bahawa pemimpin tersebut tidak mempunyai kredibiliti.
"Rakyat akan melihat dan memberi tafsiran, apa bezanya antara pemimpin dengan orang biasa. Pemimpin mesti ada disiplin, berhati-hati semasa bercakap, beri kenyataan dalam akhbar supaya tidak sensitif, prejudis, merosakkan, menjejaskan imej dan tidak menimbulkan ketidakpercayaan.
"Pemimpin perlu bertanggungjawab semasa beri ucapan atau memberi kenyataan dalam akhbar.
"Kalau tidak berhati-hati, perkara ini boleh diterjemahkan kepada pelbagai andaian. Apabila timbul pelbagai andaian, maka timbul masalah kepercayaan rakyat terhadap pemimpin,” katanya.
ANTARA KES SAMAN LIBATKAN AHLI POLITIK
5 April 2022
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau ada meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.
20 April 2022
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku plaintif memfailkan saman fitnah terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu campur tangan dalam prosiding kes jenayah yang di mahkamah.
20 Julai 2022
Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepada plaintif ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
20 Disember 2022
Datuk Seri Anwar Ibrahim menfailkan tuntutan saman kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah bahawa beliau menerima RM15 juta setahun sebelum ini sebagai penasihat ekonomi kerajaan Selangor.
5 Mei 2023
Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan saman fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ pada Mac lalu.
Klik di sini untuk terus membaca