KEMBALINYA tradisi hari raya membawa kegembiraan yang tidak terperi kepada semua. Malah, ia mempunyai nilai pendidikan yang besar terutama bagi saudara-mara lebih muda yang tidak dapat merasainya sebelum ini disebabkan gangguan selama tiga tahun akibat Covid-19.
Oleh itu, dengan penuh ke-sungguhan, saya cuba menerangkan kepada anak sepupu saya tentang pelbagai aspek perayaan di Seri Menanti.
Tetapi sebelum itu, sepupu-sepupu telah menyertai saya untuk menyaksikan satu peristiwa di luar bandar diraja – penampakan rasmi anak bulan baharu, atau Hilaal.
Kami disambut oleh Pengerusi dan pasukan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), satu-satunya Majlis Agama Islam yang memiliki balai cerap sendiri.
Dalam kes ini, Balai Cerap Telok Kemang di Port Dickson yang baru-baru ini menempatkan teleskop paling berkuasa di Asia Tenggara (sebelum ia diatasi oleh satu lagi teleskop di Thailand).
Memandangkan kubah teleskop utama sedang diubah suai, ia tidak boleh digunakan untuk melihat anak bulan.
Mengikut peraturan yang ditentukan oleh syariah, satu susunan teleskop lebih kecil telah disusun untuk mengiringi penglihatan mata kasar.
Seperti kita sedia maklum, tidak seperti tahun lalu, anak bulan tidak kelihatan atau dijangka mengikut pe-ngiraan astronomi.
Tanpa sebarang penampakan dari mana-mana lokasi rasmi, Yang di-Pertuan Agong dengan perkenan Raja-Raja Melayu menitahkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengumumkan bahawa Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 21 April.
Pada 30 Ramadan, lebih ramai saudara-mara berkumpul untuk mengambil bahagian dalam ritual yang biasa dilakukan oleh setiap keluarga tanpa mengira di mana mereka berada.
Ritual itu bermula dengan lawatan ke makam keluarga. Bunga segar ditabur dan air disiram di atas kubur sebagai mengenang arwah yang tidak dapat bersama untuk hari raya.
Kali ini, ada saudara-mara yang pertama kali diberitahu: "Ini datuk kamu, jadi kita mesti membaca al-Fatihah untuknya.”
Disebabkan tiada lawatan untuk suatu masa yang lama sejak lawatan terakhir, ramai menggunakan kemahiran jawi mereka (dan Google Translate) untuk mengesahkan siapa yang dikebumikan di dalam kubur tersebut!
Selepas peristiwa suram itu, dilakukan sesuatu yang lebih menyeronokkan. Pada bulan Ramadan, saya sentiasa mencuba untuk melawat Ladang Alam Warisan, di mana sunnah Nabi Muhammad dilakukan melalui menunggang kuda, memanah dan gabungan kedua-duanya.
Lakonan semula
Kilat yang sabung-menyabung bermakna tiada aktiviti penunggangan berpanjangan tetapi saya gembira melihat saudara-mara menikmati lakonan semula adegan filem dengan menembak anak panah dalam bentuk formasi – "Nok! Tarik! Lepas!” – saya rasa diiringi dengan beberapa ketidaksetujuan daripada tuan rumah kami kerana itu sememangnya bukan kaedah pada zaman pertengahan Arab.
Ketika matahari terbenam untuk kali terakhir pada bulan Ramadan, tiba masanya menembak meriam sebanyak tujuh kali bagi menandakan ketibaan Aidilfitri.
Saya dan kekanda saya menyertai tentera Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ialah Kolonel Yang Dipertua kor ini) dan saya dimaklumkan bahawa isi rumah di seberang lembah menggunakan isyarat itu untuk memberitahu ahli keluarga muda mereka: "Besok dapek duit rayo kek istano!” (Esok anda akan dapat duit raya di istana!)
Takbir raya pertama – terdiri daripada alunan solo dan berjemaah bersama pembesar istana kemudiannya berlangsung ketika hujan membasahi kaca patri yang menghiasi surau kayu, sebelum salam raya dihulurkan kepada seluruh pasukan istana.
Kemudian, semua orang menikmati pertunjukan bunga api dan pembenaran piroteknik baru-baru ini nampaknya tidak memberi kesan pada tahap hingar di seluruh kawasan. Bunyinya sama kuat seperti biasa. Suasana kembali sunyi di tengah-tengah keharuman sate dan lemang yang sedang dimasak untuk keesokan harinya.
Solat sunat Aidilfitri menyaksikan Masjid Diraja Tuanku Munawir melebihi kapasiti, malah lebih ramai saudara-mara yang hadir.
Imam Abdul Rahman dalam peringatannya tentang cara menunaikan solat telah memerli dirinya sendiri kerana tahun lalu dia terlupa untuk bertakbir lima kali ketika rakaat kedua!
Jemaah sama menjadi tetamu awal Istano Terbuko yang menyaksikan 12,000 orang datang dari seluruh negeri untuk mengambil bahagian dalam jamuan, bergambar dan diharapkan menjadi unsur penghargaan sejarah apabila pakaian diraja dipamerkan dan Istana Lama kini dibaiki strukturnya.
Tetamu yang awalnya bertali arus berkunjung akhirnya beransur-ansur berkurangan. Tiba masanya untuk kembali kepada aktiviti keseronokan keluarga yang lain, kebanyakannya terdiri daripada permainan kata.
Ahli keluarga sukakan lebih cabaran telah meneroka Pilah Gateway baharu, di mana rangkaian kopi terkenal telah menyertai kedai sukan dan kedai nasi ayam terkenal membuka perniagaan mereka sebagai tanda kekuatan ekonomi bandar berkenaan.
Tanggal 2 Syawal, sudah tentu adalah permulaan kepada sambutan hari raya yang lain, dengan deretan undangan rumah terbuka bersedia, menandakan kembalinya kehidupan seharian.
Saya harap anda semua menikmati tradisi kebanyakan rakyat Malaysia ini. Selamat hari raya, maaf zahir batin!
* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah anakanda kedua Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Klik di sini untuk terus membaca