SHAH ALAM - SHAH ALAM - Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim harus menerima hakikat penyebaran spekulasi gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan yang hangat diperkatakan adalah isyarat jelas menunjukkan kepimpinan beliau adalah 'lemah' dan dipertikaikan banyak pihak.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari UMNO, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, Anwar tidak wajar menyalahkan pihak pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pas atas dakwaan merencana gerakan sedemikian, sedangkan beliau sendiri gagal memastikan kedudukan Kerajaan Perpaduan benar-benar kukuh.
Menggunakan analogi watak Tarzan dan Jane dalam filem animasi kanak-kanak popular dunia, Tarzan, Mohd Zaid menyamakan karektor Anwar dengan watak Tarzan yang dilihat berbadan sasa dan memberi persepsi bahawa beliau mempunyai kekuatan semula jadi berasaskan sokongan dua pertiga ahli Parlimen diperoleh.
"Saya rasa kerajaan ini dan Anwar ibarat watak Tarzan - berbadan sasa dan memberi persepsi kononnya beliau kuat. Tetapi hakikatnya kalau hari-hari orang mempertikaikan kekuatannya, lama-lama Tarzan tidak akan dihormati orang lain.
"Lagi satu, Tarzan akan menjadi lebih kuat bila bersama sekutunya, Jane. Saya anggap Jane ini mewakili UMNO. Kalau Jane tiada, Tarzan akan dilihat lemah. Saya nampak kerajaan sekarang ini kurang mengiktiraf peranan dan sering memperlekehkan Jane.
"Sebab itu kalau UMNO kuat dan stabil, tiada siapa berani menggugat PMX atau Tarzan. Kalau Tarzan hendak dilihat kuat, dia kena kuatkan Jane. Malangnya keadaan sekarang ini, Jane tidak kuat, Tarzan pun lemah... Jadi timbullah spekulasi gerakan jatuhkan kerajaan hari-hari," tegasnya kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas status kedudukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang dikatakan semakin tergugat ekoran terdapat gerakan menjatuhkan kerajaan yang didakwa diusahakan Dr Mahathir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi tandatangan perjanjian Proklamasi Orang Melayu.
Berikutan itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah meminta semua pihak menghentikan sebarang usaha untuk menukar kerajaan sedia ada demi kepentingan rakyat.
Sebelum itu, Anwar mengakui tidak menolak wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan, namun menegaskan ia sebagai tidak berasas.
Mengulas lanjut, Zaid yang bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam pemilihan parti itu baru-baru ini turut mempersoalkan kegagalan Anwar selaku ketua koalisi Pakatan Harapan (PH) mempertahankan UMNO daripada 'diserang' parti-parti dalam koalisi itu sendiri.
Menurutnya, Anwar sebagai watak Tarzan perlu memastikan watak UMNO sebagai Jane diperkasakan bagi membolehkan sekutunya benar-benar berfungsi membantu beliau selain diberikan peranan lebih besar dalam mengukuhkan kerajaan sedia ada.
"Kalau Tarzan tidak kuat, di mana fungsi Jane? Sama ada Jane tidak benar-benar membantu Tarzan atau Tarzan sebenarnya tidak beri peranan besar kepada Jane untuk kukuh kerajaan sedia ada?
"PMX sebagai Tarzan sendiri pun gagal mempertahankan Jane daripada diserang parti-parti diketuainya. Jadi jangan marahkan Pas, Hadi dan Tun M hendak gulingkan kerajaan.
"Sebaliknya Tarzan kena tanya diri sendiri, jika kelompok tertentu dalam pasukan Tarzan pun tidak dapat dikawal, bagaimana kamu hendak pastikan Jane benar-benar berfungsi membantunya?
"Hakikat lebih besar, bila kerajaan Anwar tidak kuat dan UMNO tiada usaha mempertahankannya disebabkan sikap parti-parti diketuai Anwar, ini semua simptom awal kelemahan kerajaan sedia ada," tegasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca