CUACA panas melampau negara ketika ini cukup membimbangkan. Dengan ramalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa fenomena El Nino kuat akan melanda dunia bermula Jun berlanjutan ke September, PBB juga turut memberi amaran bahawa... Klik di sini untuk terus membaca

CUACA panas melampau negara ketika ini cukup membimbangkan. Dengan ramalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa fenomena El Nino kuat akan melanda dunia bermula Jun berlanjutan ke September, PBB juga turut memberi amaran bahawa dunia mungkin akan melihat pemanasan global yang terburuk pernah direkodkan dalam sejarahnya.

Menariknya, sekitar tempoh tersebut jugalah enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dijalankan.

Perkembangan semasa memperlihatkan amaran bahawa PRN akan membawa politiking terkuat dengan pemanasan lokal terburuk bakal tercetus menerusi polarisasi perkauman dan agama yang melampau.

Pelbagai spekulasi sudah pun memulakannya. Sedikit sebanyak impak hal tersebut telah memberikan kesan kelesuan haba kepada politik semasa.

Pendedahan terhadap politiking berpanjangan orang politik telah membahayakan rakyat dengan ancaman ‘strok haba’ politik.

Dek kerana terdedah dengan politiking mereka yang berpanjangan, rakyat mendapat kelesuan politik dan lebih teruk, ‘strok politik’. Kalau kena strok haba, gejalanya mudah.

Mereka yang terkesan akan me-ngalami peningkatan suhu badan dengan cepat melebihi 40 darjah Celsius. Akibatnya fungsi otak terjejas, mental terganggu, hilang fokus dan kekeliruan lantas menjadi sawan, koma atau akhirnya terkorban.

Persoalannya, apa yang orang politik mahu sebenarnya? Apa yang kecewa dan sakit hati sangat sampai segalanya mahu dilanggar serta dihancurkan.

Susah sangatkah untuk semua pihak berlapang dada dan fokus terhadap kerja, peranan serta tanggungjawab masing-masing dengan menghormati mandat sedia ada. Kenapa masih keras kepala sampai kelihatan angkuh dan tidak menghormati titah diraja?

Apakah agenda politik sempit atas nama kaum dan agama lebih penting daripada kestabilan sosiopolitik negara? Adakah kesemua perkara tersebut selesai hanya dengan menjadi kerajaan yang memerintah?

Dan apakah jaminannya dengan menjadi kerajaan, ia dapat diselesaikan setelah rekod pencapaian semasa menjadi kerajaan dahulu tidak juga boleh dibanggakan?

Sebetulnya rakyat kecewa dengan perkembangan yang ada. Jelas yang berlaku hanyalah manifestasi ke-kecewaan dan dendam politik yang bersandarkan kepentingan serta agenda survival bersifat peribadi.

Tiada satu pun perkara yang berlaku ketika ini akan memberi kebaikan dan nilai tambah kepada rakyat serta negara, sama ada kepada orang Melayu-Islam secara khusus, mahupun Malaysia secara umum.

Politik tetap politik. Perbezaan ideologi, pandangan dan pendapat biasa dalam berpolitik. Namun, ia tidak menjadi unsur terpenting dalam politik.

Kerana akhirnya setiap pemain politik perlu kembali dalam realiti falsafah politik sebenar iaitu mencipta ke-seimbangan kehidupan politik yang melihat sistem politik secara menyeluruh dan bukannya separa (partial).

Dalam kerangka sistem politik, terdapat unit-unit yang saling berkaitan dan bekerjasama untuk menggerakkan sistem politik. Unit-unit itu merupakan institusi yang bersifat autoritatif untuk menjalankan sistem politik seperti badan legislatif, eksekutif, kehakiman, parti politik, masyarakat sivil dan seumpamanya.

Unit-unit tersebut berfungsi dalam sempadan sistem politik, contohnya skop bernegara atau undang-undang, bidang tugas dan seumpamanya bagi membentuk mekanisme keseimbangan yang diperlukan.

Maka, apakah alasan yang menjadikan politik itu menjadi terlalu personal dan eksklusif khusus kepada kelompok tertentu, sedangkan hakikatnya politik adalah sebuah sistem yang komprehensif dan umum untuk kebaikan semua tanpa prejudis.

Apakah kuasa politik itu terlalu penting sehingga segalanya menjadi terlalu Machiavellian, lantas membutakan dan menghalalkan segalanya kerana kuasa.

Atau memang lumrah orang politik begitu sehinggakan sebagai rakyat kita harus reda dan menyerah, lantas menerimanya sahaja dengan lali dan nyali. Kalau itulah yang berlaku, maka tunggulah ‘strok politik’ yang bakal membunuh semua dek kerana tidak bersedia dengan haba bakaran orang politik yang licik dan jahat.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca