SEMPORNA ialah syurga kepada penyelam skuba kerana memiliki pulau bertaraf antarabangsa seperti Mabul, Sipadan dan 17 lagi pulau yang kaya dengan kepelbagaian biologi marin.
Saya berkesempatan melawat tempat yang unik dan indah di Malaysia itu beberapa hari lalu.
Di sebalik tabir tempat peranginan terkemuka di dunia itu, pekan Semporna penuh dengan pemuda yang menolak kereta sorong untuk menghantar barangan dan budak kecil berambut emas yang mengelilingi pelancong-pelancong untuk meminta sedekah.
Jika orang tempatan ingin melalui satu kumpulan kanak-kanak jalanan itu, orang-orang dewasa dengan pandangan serong akan menolak budak-budak tersebut ke tepi.
Mereka ialah sebahagian masyarakat Bajau yang tidak mempunyai dokumen sah atau dikenali sebagai komuniti tanpa kewarganegaraan.
Di perkampungan atas air di pesisir pantai, longgokan sampah bertaburan di merata tempat, malah semasa menyelam di Pulau Mataking yang jauh dari jeti Semporna, saya masih ternampak sampah yang terapung atas air jernih.
Tong sampah susah dijumpai kerana tiada sistem pengurusan sampah.
Bagi penduduk atas air, pembuangan sampah ke dalam laut amatlah senang kerana sampah akan dihanyutkan ke tempat lain. Sampah yang tidak dilihat dan tidak berbau senang dilupakan.
Di pasar ikan Semporna, ikan buntal yang ditakuti ramai kerana racun limpanya tersedia ada dan ikan pari manta (manta ray) juga boleh dijumpai dalam ketulan di pasar.
Nasib baik, dengan adanya perlindungan ke atas penyu di Sabah, telur penyu tidak dijumpai dan masih terdapat banyak penyu di sekeliling Pulau Mataking.
Bajau sebenarnya membawa maksud ‘orang’ kepada penduduk tempatan dan kebanyakan Bajau terdiri daripada Bajau Laut dan Bajau Ubian (bermaksud keledek dan merujuk kepada Bajau yang tinggal di darat).
Berdasarkan tempat asal masyarakat Bajau, mereka boleh dikenali sebagai Bajau Bahatan, Bajau Bongao, Bajau Tabawan, Suluk-Tausug dan lain-lain.
Walaupun komuniti tanpa kewarganegaraan itu tertumpu di Sabah, tiada satu pihak yang dapat menentukan bilangan orang tanpa dokumen di negeri berkenaan dan tidak banyak maklumat golongan Bajau yang diketahui.
Isu masyarakat tanpa negara di Sabah telah berlanjutan selama lima dekad. Sejak konflik senjata di kepulauan Mindanao di selatan Filipina pada 1970-an, ramai migran Filipina yang telah berhijrah ke Malaysia.
Situasi itu berterusan sehingga 1980-an, dengan migran ekonomi Filipina datang mencari nafkah di Sabah.
Tanpa dokumen sah, kanak-kanak tidak dapat bersekolah, sementara orang dewasa menganggur. Dengan pembacaan yang terhad, tahap pendidikan di Semporna antara paling rendah di Malaysia.
Situasi sukar mencari pekerjaan tetap menyebabkan orang tempatan mengaitkan golongan berkenaan dengan gejala sosial.
Orang Bajau turut menjadi bahan politik yang hangat dibicarakan tetapi tiada jalan penyelesaian selama ini.
Projek kad pengenalan diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri, disyaki memberikan kenegaraan kepada masyarakat tanpa dokumen itu pada 1980-an dan 1990-an untuk mendapatkan undi mereka.
Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan mencadangkan pemberian Pas Sementara Sabah tetapi berdepan tentangan daripada UMNO Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR). Ia adalah antara dua kejadian politik berkenaan masyarakat tanpa kewarganegaraan di Sabah.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang merupakan bekas Ketua Menteri hanya sekadar mampu membenarkan masyarakat tanpa dokumen menetap di Sabah kerana telah lama di negeri itu.
Setelah bersembang dengan penduduk tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja di sini, saya berpendapat tiada jalan penyelesaian yang senang buat masyarakat tanpa dokumen itu.
Penduduk Sabah harus terbuka menerima golongan terdahulu sebelum sebarang perubahan yang ketara boleh berlaku.
* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat
Klik di sini untuk terus membaca