SHAH ALAM - Cuaca panas yang melanda negara ketika ini menyebabkan sekuriti makanan negara terjejas apabila hasil padi dijangka mengalami kemerosotan.
Ini berikutan waktu pesawah berada di bendang lebih pendek berbanding biasa, selain peningkatan serangga perosak dan rumpai yang naik dengan cepat.
Ketua Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Norida Mazlan berkata, tempoh masa pesawah menguruskan bendang lebih pendek menyebabkan kerja pengawalan penyakit, serangga perosak dan rumpai berkurang.
"Di kawasan Jelapang Padi sepe padirti di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), masih ramai pesawah yang turun sendiri ke bendang tanpa mengupah orang untuk menguruskannya. Mereka ini rata-ratanya sudah berusia 50 tahun ke atas, malah ada mencecah 70 tahun.
"Jadi, dalam keadaan cuaca yang panas terik, mereka tak boleh duduk lama-lama di bendang. Contohnya, kalau dahulu turun jam 7 pagi, jam 10 pagi masih lagi buat kerja-kerja di bendang, tetapi sekarang jam 9 pagi mereka terpaksa balik sebab cuaca panas terik,” katanya kepada Sinar Ahad.
Norida berkata, situasi itu memberi kekangan kepada pesawah ditambah masalah serangga perosak dan rumpai membiak dengan cepat ketika musim panas.
"Serangan serangga perosak ini mengurangkan hasil padi dengan banyak terutama bena perang dan penggerek batang. Bena perang akan menyerang pangkal rumpun di permukaan air dan akan mengeluarkan larva pada pangkal rumpun itu, manakala jika penggerek batang membiak, ia akan terus masuk ke dalam batang padi yang boleh membuatkan pokok padi mati dan tak keluarkan hasil,” jelas beliau.
Norida bagaimanapun berkata, berbeza dengan pesawah, petani sayur-sayuran dan buah-buahan kurang terjejas dengan cuaca panas.
Menurutnya, ini disebabkan kebanyakan pekebun sayur terutama di Cameron Highlands menggunakan jaring pelindung hujan yang boleh mengelakkan pekebun atau pekerja terdedah secara terus kepada panas sinaran matahari.
"Malah, cuaca panas terik bagus untuk pertumbuhan pokok sayur-sayuran dan buah-buahan, namun kerja-kerja pengawalan penyakit dan serangga perlu lebih kerap kerana kitaran hidup serangga perosak akan lebih pendek apabila cuaca panas.
"Bagi pokok durian pula, memang tanaman itu memerlukan cuaca panas untuk berbunga. Cuma yang menjadi ancaman sekarang adalah ribut dan cuaca hujan yang kebelakangan ini berlaku pada waktu petang, mengakibatkan bunga durian gugur,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca