SEKINCHAN - Pesawah di sekitar Sekinchan dan Tanjong Karang di sini mengalami kerugian apabila hasil pengeluaran padi merosot berikutan cuaca panas melanda negara ketika ini.
Salah seorang daripada mereka, Zainal Abidin Zawawi, 63, berkata, perubahan monsun itu menyebabkan tanaman padi musim satu pada tahun ini terjejas teruk.
Menurutnya, biasanya purata hasil pengeluaran padi ialah sekitar lapan hingga sembilan tan metrik, namun keadaan itu jauh merosot separuh berbanding musim kali ini.
"Saya mempunyai sembilan ekar (3.6 hektar) kawasan tanaman padi. Kali ini purata pengeluaran hanya empat hingga lima tan metrik dan keadaan ini memberi kesan kepada pendapatan,” katanya ketika ditemui Sinar Ahad.
Zainal yang mengusahakan tanaman padi di Parit 4 Sungai Burong berkata, kemerosotan hasil pengeluaran memberi kesan kepada pesawah terutama mereka yang mengusahakan tanaman itu secara sewa tapak.
Ujarnya, kos sewa sawah padi bagi tanah berkeluasan 1.2 hektar ialah RM4,000 semusim.
"Jika ditolak dengan kos sewa tanah RM4,000, mereka memperoleh RM1,400 sahaja. Ini belum lagi ditolak kos upah meracun, baja dan mesin jentuai bagi enam bulan pada musim tanaman berikutnya,” ujarnya yang mengusahakan tanaman padi sejak 50 tahun lalu.
Seorang lagi pesawah, Azmi Mohd Noor, 60, berkata, musim panas ketika ini memberi kesan kepada pesawah yang rata-rata bergantung sepenuhnya kepada kerja tersebut untuk menyara diri dan keluarga.
Dia bagaimanapun menjelaskan, pesawah pada masa ini menerima bantuan kerajaan sebanyak RM200 selama tiga bulan sementara menunggu padi dituai.
"Dalam keadaan musim panas ini, saya mencadangkan kerajaan meneruskan bantuan RM200 ini kepada enam bulan,” katanya yang mengusahakan tanaman padi seluas 2.4 hektar di Tanjong Karang.
Bagi seorang lagi pesawah, Bazli Jafri, 59, berkata, cuaca panas juga menyebabkan padi mudah diserang pelbagai penyakit.
"Antaranya penyakit hawar daun bakteria (BLB), bena perang dan padi angin,” katanya.
Berikutan itu, dia mencadangkan kepada kerajaan supaya mengaktifkan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi membantu pesawah terjejas pada musim panas ini.
Pesawah di Sekinchan, Sibli Dahalan, 69, berkata, pokok padi sememangnya memerlukan air hujan untuk hidup subur dan hasil pengeluaran bertambah.
"Walaupun petak tanaman ada air, tetapi pokok padi memerlukan air dari atas (hujan) kerana itulah sistem terbaik untuk mendapatkan kualiti buah padi terbaik.
"Akibat cuaca panas dan tiada hujan menyebabkan biji padi tidak berkualiti dan ringan,” katanya.
Pesawah yang mengusahakan tanaman padi di Sungai Sireh, Zulkifli Rasidi, 52, berkata, dia bimbang sekiranya tanaman padinya tidak menjadi.
Ketika cuaca panas, katanya, tanaman berisiko diserang padi angin menyebabkan buah padi mudah luruh apabila disentuh dan ditiup angin.
"Kalau tengok buah padi ini nampak tiada masalah, tetapi apabila ditimbang, beratnya kurang dan susut,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca