ISU persiapan mendepani pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, usul pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, konflik jatuhkan kerajaan dan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sehingga tiga peratus mungkin... Klik di sini untuk terus membaca

ISU persiapan mendepani pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, usul pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, konflik jatuhkan kerajaan dan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sehingga tiga peratus mungkin menjadi empat topik utama bakal dibincangkan dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini.

Penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, secara umumnya konvensyen berkenaan perlu menumpukan kepada pelbagai isu semasa termasuklah perkembangan politik semasa, PRN, matlamat penubuhan kerajaan Madani, tadbir urus kerajaan, dasar ekonomi, isu sosial dan budaya.

Bagaimanapun, Awang Azman berkata, topik pembahagian kerusi pilihan raya antara gabungan parti politik membentuk Kerajaan Perpaduan khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN akan datang turut dijangka menjadi tumpuan hangat perwakilan yang hadir.

Beliau berkata, konvensyen itu juga perlu merangka formula terbaik ke arah mewujudkan kerjasama strategik bukan berasaskan nostalgia, retorik mahu pun sentimen kepartian masing-masing.

"Isu kedua yang bakal dibahaskan perwakilan dalam konvensyen berkenaan adalah desakan UMNO supaya Najib dikurniakan pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Sesetengah parti gabungan Kerajaan Perpaduan mungkin memihak supaya Najib diberikan pengampunan, manakala yang lain mungkin menentangnya. Ini berpotensi membawa kepada ketegangan dan perselisihan faham dalam kalangan parti-parti gabungan.

Mahfuz
Mahfuz

"Namun pemimpin tertinggi Kerajaan Perpaduan perlu memberikan pencerahan bahawa perkara itu tertakluk di bawah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya,” katanya kepada Sinar Premium.

Menurut Awang Azman, antara isu lain bakal dibincangkan dalam konvensyen berkenaan adalah soal struktur tadbir urus dan perkongsian kuasa antara 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Putrajaya sekarang.

Katanya, konvensyen berkenaan juga dijangka membincangkan soal dasar dan strategi bakal dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memulihkan ekonomi negara, menggarap naratif paling menarik bagi menggalakkan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) serta membantu perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PKS) pada masa depan.

"Konvensyen berkenaan juga dijangka membincangkan soal perpaduan kaum, dasar pendidikan dan toleransi antara agama susulan langkah kerajaan memperkenalkan dasar Kerajaan Madani,” ujarnya.

MOBILISASI PERPADUAN

Sementara itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mengunjurkan konvensyen berkenaan penting bagi menggerakkan mobilisasi perpaduan antara 19 parti komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Pengerusi PH Kedah itu bagaimanapun memberi jaminan konvensyen berkenaan tidak akan membincangkan secara khusus soal pembahagian kerusi antara PH dan BN bagi menghadapi PRN di enam negeri yang bakal diadakan pada Julai nanti.

"Konvensyen ini juga penting bagi menyemarakkan semangat dan kerjasama antara parti membentuk Kerajaan Perpaduan sebagai persiapan menghadapi PRN enam negeri tidak lama lagi,” katanya.

Ditanya status kestabilan Kerajaan Perpaduan yang menjadi persoalan umum, Mahfuz melihat tiada keperluan isu keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri dibangkitkan dalam konvensyen berkenaan.

Ini kerana Pengerusi PH itu menegaskan, Anwar sudah membuktikan beliau memiliki sokongan majoriti selepas menang undi percaya dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu.

"Saya berpandangan tiada ahli Parlimen menyokong Kerajaan Perpaduan berani melompat parti kerana jika berbuat demikian mereka akan gugur kelayakan sebagai wakil rakyat susulan penguatkuasaan Akta Anti Lompat Parti,” katanya.

Berikutan itu, Mahfuz menyifatkan pihak yang cuba menjatuhkan Kerajaan Perpaduan adalah musuh negara kerana cuba menumbangkan kerajaan dipilih oleh rakyat, selain menggugat kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, konvensyen itu mampu menjadi medium merangka strategi dan merungkaikan pelbagai isu untuk mewujudkan kerjasama lebih berkesan dalam kalangan parti komponen membentuk Kerajaan Perpaduan, pada masa depan.

Beliau juga berharap konvensyen berkenaan dapat mengurangkan pertelagahan dan perpecahan antara parti komponen membentuk Kerajaan Perpaduan terutama BN dan PH mengenai pelbagai isu semasa.

Klik di sini untuk terus membaca