KEDUDUKAN Malaysia dalam Indeks Akhbar Dunia yang mengukur tahap kebebasan wartawan melaksanakan tugas sebagai jagawan estet keempat bagi 2023 yang dikeluarkan oleh organisasi bernama Reporters Without Border, beribu pejabat di Paris,... Klik di sini untuk terus membaca

KEDUDUKAN Malaysia dalam Indeks Akhbar Dunia yang mengukur tahap kebebasan wartawan melaksanakan tugas sebagai jagawan estet keempat bagi 2023 yang dikeluarkan oleh organisasi bernama Reporters Without Border, beribu pejabat di Paris, Perancis meningkat agak ketara.

Malah, pencapaian itu memeranjatkan banyak pemerhati media hingga ada tidak percaya bahawa kebebasan media di negara ini adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Hal itu kerana dalam kalangan 180 negara yang ditinjau, Malaysia ditempatkan pada kedudukan 73, berbanding 103 pada 2022. Pada 2021, kita berada pada kedudukan 119 dan pada 2020 (101).

Sebenarnya tidak ada yang meramalkan pada 2023, kedudukan kita secara mendadak akan melonjak 40 anak tangga.

Ini kerana penilaian untuk 2023 diasaskan kepada tahap kebebasan media sepanjang 2022.

Sepanjang tempoh 12 bulan, tiada perubahan radikal telah dilaksanakan kerajaan Malaysia untuk memansuhkan kerangka perundangan yang dianggap mengongkong kebebasan media di negara ini oleh Reporters Without Border.

Ia termasuklah memansuhkan atau memperbaharui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, beberapa seksyen Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Fitnah 1957.

Akta-akta itu telah disenaraikan oleh Reporters Without Border dalam laporan tahunannya sebagai halangan untuk menaikkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Akhbar Dunia - diterbitkan setiap tahun pada 3 Mei sempena World Press Freedom Day (Hari Kebebasan Akhbar Dunia).

Tetapi kenapa secara mendadak kedudukan Malaysia melonjak begitu tinggi dalam indeks kebebasan itu bagi 2023?

Jawapan diberi rupanya ada kaitan dengan perubahan kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU), November tahun lalu.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja berjanji untuk menjamin kebebasan media tetapi mempunyai program dianggap konkrit bagi mewujudkan iklim kebebasan media itu seperti dinyatakan dalam Buku Harapan.

Ia termasuklah menubuhkan Majlis Media Malaysia bagi membolehkan industri media beroperasi secara kawalan kendiri, memansuhkan akta-akta yang menyekat kebebasan wartawan dan pengamal media mengumpul serta menyebarkan maklumat sebagai bahan berita, rencana, komentar dan sebagainya.

Manifesto PRU Pakatan Harapan (PH) juga berikrar untuk meningkatkan kebebasan dan profesionalisme Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dengan tujuan menjadikannya badan penyiaran awam yang tidak bertindak sebagai wadah propaganda kerajaan semata-mata.

Janji-janji itu masih belum dilaksanakan tetapi oleh sebab Reporters Without Border mempunyai tahap kepercayaan tinggi terhadap kerajaan Malaysia Madani, maka ia memutuskan untuk meletakkan kita pada tangga ke-73.

Dari satu segi, apa yang telah dilakukan itu adalah satu tindakan psikologi untuk merangsang Kerajaan Madani supaya segera mengotakan janji-janji kebebasan medianya, kalau boleh dalam masa enam bulan mendatang supaya dengan itu kedudukan kita boleh ditingkatkan lagi dalam indeks tersebut. Mungkin ke tahap baik atau memuaskan.

Walaupun kedudukan kita pada 2023 meningkat dengan drastik ke tangga 73 tetapi dari segi lima kategori indeks tersebut, kedudukan kita kekal dalam kelompok dianggap bermasalah dari segi kebebasan media iaitu kedudukan sama sewaktu kita berada pada tangga 103.

Dua kategori unggul indeks tersebut ialah kategori bagus (good) dan memuaskan (satisfactory).

Dua kategori paling teruk dari segi kebebasan media ialah negara-negara yang berada dalam kelompok sukar dan paling sukar.

Untuk keluar daripada kategori bermasalah dalam Indeks Kebebasan Akhbar, yang perlu dilakukan kerajaan Malaysia Madani adalah melaksanakan segala janji bagi menjamin kebebasan media yang telah diikrarkannya.

Sekiranya sebelum 2023 berakhir, penubuhan Majlis Media Malaysia, pemansuhan kerangka perundangan yang dianggap mengongkong dapat dijadikan kenyataan dan RTM boleh bertukar status menjadi entiti penyiaran awam seperti British Broadcasting Corporation (BBC), maka kedudukan Malaysia dalam Indeks Akhbar Dunia bagi tahun 2024 sudah pasti akan ditempatkan dalam kategori memuaskan.

Jika gagal, tidak mustahil kedudukan kita akan jatuh semula dan dari segi kategori, kita kekal dalam situasi bermasalah atau sukar.

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Klik di sini untuk terus membaca