TIDAK lama lagi, enam negeri akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing. Maka, gegak gempitalah cakap-cakap politik, tindakan bermotifkan meraih undi oleh kedua-dua pihak dan saling tuding menuding antara satu sama lain. Mereka... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK lama lagi, enam negeri akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing.

Maka, gegak gempitalah cakap-cakap politik, tindakan bermotifkan meraih undi oleh kedua-dua pihak dan saling tuding menuding antara satu sama lain.

Mereka muflis idea untuk membangunkan negara. Sebahagian besar ahli politik sebegini bukan yang jujur mahu memajukan negara tetapi hanya fokus kepada puncak kuasa.

Menginsafi kesilapan lalu, saya ingin mengajak calon-calon PRN menganjak paradigma mereka dengan menumpukan perhatian kepada pembangunan negara.

Sistem politik dan tadbir urus yang baik adalah syarat utama kejayaan serta kelangsungan sesebuah negara.

Kebajikan rakyat akan terbela dengan kewujudan sistem politik yang adil, tadbir urus yang baik dan sistem penyampaian yang cekap.

Usaha-usaha mewujudkan sistem politik dan tadbir urus yang baik perlu dipergiatkan melalui tindakan-tindakan, antaranya menjadikan pentadbiran awam cekap, telus dan tulus serta menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam.

Selain itu, melantik penjawat awam dan pemimpin kanan kerajaan dalam kalangan mereka yang terbukti bersih daripada amalan rasuah, salah guna kuasa serta salah laku moral.

Di tengah-tengah kehangatan gelombang PRN, terdengar pula ada agenda mahu menjatuhkan kerajaan Persekutuan.

Nampak gayanya pengalaman lalu masih belum menjadi ibrah kepada golongan politikus.

Negara demokrasi yang stabil wujud apabila kerajaan dibentuk hasil mandat rakyat dan institusi masyarakat sivil mempunyai ruang yang luas untuk berperanan aktif memperkasakan masyarakat serta membangunkan negara.

Keabsahan politik pemerintah bergantung kepada keterbukaan ruang demokrasi, kesediaan pemerintah untuk bersikap responsif terhadap keluhan rakyat dan kemampuan pemerintah menjamin keselamatan serta keamanan dalam negara.

Bagi pihak kerajaan, mereka perlu sedar bahawa konsep ‘kerajaan mengetahui segalanya’ adalah salah.

Pihak kerajaan perlu mendapat kerjasama dan sokongan rakyat, masyarakat sivil serta badan bukan kerajaan.

Pembangkang pula harus menjadi pembangkang yang konstruktif dengan kritikan membina dan memberi solusi kepada sesuatu permasalahan.

Seharusnya solusi dan idea yang bernas didambakan bagi penambahbaikan program kerajaan tanpa mengira sama ada ia daripada pihak kerajaan, pembangkang atau masyarakat sivil.

Tidak semua perkara perlu dibangkang atau dipolitikkan.

Pihak yang menang iaitu kerajaan dan pihak yang kalah iaitu pembangkang perlu fokus isu pembangunan negara dalam tempoh Parlimen ini. Bila datang Pilihan Raya Umum ke-16, berpolitiklah secara matang.

Saya banyak menulis tentang Islam yang mempunyai kedudukan istimewa dalam sistem politik dan undang-undang di Malaysia.

Perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, memperakui status institusi-institusi Islam dan memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk melaksanakan undang-undang Islam.

Pada masa sama, agama lain masih boleh diamalkan dengan aman harmoni.

Mempertegaskan kesucian Islam dan menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan adalah tanggungjawab semua.

Dari aspek pendidikan dan dakwah pula, kerajaan perlu melaksanakan proses pembentukan peribadi.

Jati diri Muslim yang baik perlu dilaksanakan melalui sistem pendidikan yang mementingkan pendidikan Islam dan penerapan nilai-nilai Islam.

Malaysia perlu memacu teladan dakwah yang baik dalam kalangan negara Islam.

Kita mungkin tidak mampu menganjurkan Piala Dunia seperti Qatar bagi mempromosi keindahan Islam tetapi banyak perkara boleh kita lakukan ke arah itu.

Kita mempunyai banyak sumber bagi menzahirkan keindahan Islam kepada orang bukan Islam di Malaysia dan luar negara.

Malaysia mampu bangun jika kita sama-sama dapat menyahkan politik isu pembangunan dalam gerak kerja.

Berbalik kepada PRN, saya sangat berharap pihak bertanding berpeganglah kepada asas dan jati diri negara.

Bertanding dengan adil dan saksama serta tidak mengambil pendekatan melanggar undang-undang adab dan akhlak.

Kita perlukan wakil rakyat yang mampu mewakili rakyat dalam pelbagai isu dan perkara.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca