ALOR SETAR - Rata-rata pesawah di negeri ini terpaksa memendekkan waktu berada di bendang berikutan cuaca panas yang melanda ketika ini.
Petani, Ayob Ismail, 62, berkata, dia sendiri tidak mampu berada lama di kawasan panas ditambah faktor umur.
"Saya hanya mampu melakukan kerja di sawah setakat jam 11 pagi sahaja. Itu pun kena keluar awal.
"Memang tidak boleh bertahan lama-lama di sawah padi. Cepat letih dan kadang-kadang rasa macam pening,” katanya ketika ditemui Sinar Ahad di Kampung Lahar Budi di sini.
Ayob berkata, keadaan tersebut menyebabkan ramai pesawah sukar menjalankan aktiviti penanaman padi mengikut jadual ditetapkan.
"Sebelum ini, saya boleh meracun sawah padi hingga enam tong dalam satu pagi, tapi sekarang hanya empat tong sahaja,” katanya.
Seorang lagi petani, Abdul Rashid Yob, 41, berkata, pesawah tiada pilihan dan terpaksa mengubah jadual kerja mereka.
Abdul Rashid yang juga Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) berkata, pesawah bimbang diserang strok haba.
"Biasanya kami berada di sawah padi bermula jam 8 pagi hingga 1 petang, sebelum ke sawah semula selepas Asar.
"Tapi sekarang hanya mampu berada di sawah kira-kira tiga jam sahaja iaitu dari jam 7.30 hingga 10 pagi,” katanya.
Abdul Rashid juga khuatir cuaca panas mengganggu jadual musim penanaman padi yang ditetapkan.
"Sepatutnya sekarang kami kena buat taburan benih bermula 12 April hingga 12 Mei ini, tapi cuaca panas menjejaskan sedikit prosesnya.
"Ini bukan bermakna kami tidak patuh kepada jadual penanaman, cuma bertembung dengan musim peralihan monsun yang menyebabkan cuaca panas,” katanya.
Sehubungan itu, dia berharap Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dapat mengubah suai semula jadual penanaman padi bagi musim baharu berdasarkan keadaan cuaca sekarang.
Klik di sini untuk terus membaca