KEPUTUSAN kerajaan untuk menukar model pelaksanaan 5G daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwi rangkaian borong (DWN) merupakan satu kemenangan pelobi korporat dan akan mencetuskan bencana kewangan negara. Ya, bencana kewangan... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN kerajaan untuk menukar model pelaksanaan 5G daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwi rangkaian borong (DWN) merupakan satu kemenangan pelobi korporat dan akan mencetuskan bencana kewangan negara.

Ya, bencana kewangan negara bakal mencecah berbelas bilion ringgit hanya kerana perubahan dasar yang mahu menjaga beberapa entiti korporat telekomunikasi.

Lobi menentang model 5G menerusi Digital Nasional Berhad (DNB) bermula selepas Ericsson memenangi tender terbuka DNB mengalahkan Huawei, ZTE, Cisco, NEC, Nokia, Samsung dan FiberHome.

Lobi itu gagal pada zaman pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun, akhirnya mereka menang apabila Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan keputusan kerajaan membenarkan penubuhan entiti kedua sebagai pembekal spektrum 5G negara.

Mungkin ramai tidak peduli mengenai perubahan polisi 5G kerana ia sesuatu yang teknikal dan bukan masalah rakyat. Mereka lebih banyak terbeban dengan pelbagai kos sara hidup dan peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, pada masa depan, ia akan memberi kesan kepada ramai rakyat dan sektor perniagaan kerana 5G adalah teknologi terkini perkhidmatan data kepada rangkaian mudah alih.

5G akan membolehkan sektor perniagaan berkembang lebih meluas dari aspek pengeluaran, pemasaran, kecerdasan buatan (AI) dan kecekapan kerja.

Justeru, sebarang kegagalan mengimplementasikan infra 5G ke seluruh negara dengan cepat akan mencipta jurang kompetitif dalam kalangan rakyat dan industri luar bandar, sekali gus mengulangi kegagalan 3G serta 4G negara.

Di bawah model pelaksanaan 3G dan 4G, negara mengalami jurang digital sangat luas antara bandar serta luar bandar.

Rakyat di luar bandar dan pedalaman menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan akses 3G serta 4G yang diuruskan secara berasingan oleh syarikat telekomunikasi.

Berdepan kegagalan itu, pada 2021, Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan campur tangan kerajaan dalam merapatkan jurang digital negara menerusi pelan Jalinan Digital Nasional (Jendela) memfokuskan kepada infra 4G.

Pada Disember 2019, Pasukan Petugas 5G Kebangsaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan ‘Laporan Akhir Mengenai Peruntukan Jalur-Jalur Spektrum Bagi Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih Di Malaysia’.

Laporan itu antara lain mencadangkan ‘entiti tunggal pelaksanaan spektrum 5G’ melalui konsortium pengendali rangkaian mudah alih negara bagi mengelak ketidakcekapan pembinaan infra.

Setelah cadangan SKMM tidak mendapat sambutan, maka kerajaan memutuskan penubuhan DNB sebagai sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Sehingga tahun lalu, DNB dilaporkan telah berbelanja hampir RM2 bilion bagi menyediakan infra 5G negara.

Mengikut pelbagai laporan media memetik kenyataan menteri dan sidang Dewan Rakyat, DNB dijangka membelanjakan hampir RM12.5 bilion untuk membiayai perkakasan rangkaian dan infrastruktur 5G dalam tempoh 10 tahun.

Jumlah itu bukan satu isu besar kerana model perniagaan sedia ada akan membolehkan DNB mempunyai pendapatan stabil daripada jualan borong spektrum 5G.

Namun, dengan pengumuman terbaharu itu, model perniagaan DNB sudah tidak berdaya maju (viable). Syarikat milik kerajaan dijangka kehilangan hampir 70 peratus unjuran pendapatan masa depannya.

Sebaik pengumuman dibuat, DNB kehilangan tiga operator rangkaian mudah alih terbesar negara, Maxis, Celcom dan Digi yang mewakili hampir 70 peratus pasaran.

Maxis, yang kuat melobi kepada penubuhan entiti kedua telah menangguhkan penyertaan mereka dalam DNB sejak Januari lalu, manakala beberapa jam selepas pengumuman Fahmi, CelcomDigi Bhd mengumumkan penarikan diri daripada DNB.

Maxis dan CelcomDigi dijangka membentuk konsortium sendiri bagi pelaksanaan 5G untuk kegunaan pelanggan mereka.

Kini DNB akan berdepan dua masalah besar. Jika mereka meneruskan pelaksanaan 5G mengikut perancangan, adalah mustahil untuk mereka mampu membayar pembiayaan kewangan yang bakal dibuat.

Sekiranya pelan sedia ada dibatalkan, jurang digital berdasarkan geografi negara akan kembali meluas dan DNB terpaksa mungkir kontrak dengan gergasi telekomunikasi Eropah – Ericsson yang menang secara tender.

Entah mengapa kerajaan memilih untuk menjadi ‘tikus membaiki labu’.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar).

Klik di sini untuk terus membaca