PADA 3 Mei, Bank Negara Malaysia (BNM) sekali lagi menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus. Dengan itu, kadar OPR naik semula kepada paras sebelum berlaku pandemik Covid-19 pada 2020. Kali terakhir... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 3 Mei, Bank Negara Malaysia (BNM) sekali lagi menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus.

Dengan itu, kadar OPR naik semula kepada paras sebelum berlaku pandemik Covid-19 pada 2020.

Kali terakhir OPR dengan kadar tiga peratus adalah pada 5 November 2019.

Semasa pandemik, BNM menurunkan OPR bagi membantu mengurangkan beban hutang dan memudahkan pinjaman daripada sistem perbankan.

Sekadar catatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pembangkang, membantah kenaikan OPR atas alasan ia membebankan peminjam.

Kini, pendirian kerajaan adalah tidak campur tangan dalam urusan BNM.

Kita kena tahu bahawa BNM pun berniaga dan berusaha membuat sebanyak keuntungan yang mungkin.

OPR adalah faedah dikenakan BNM ke atas bank-bank komersial yang meminjam daripadanya.

Tahun lalu, BNM menjana pendapatan sebanyak RM8.52 bilion. Pada 2021, pendapatannya berjumlah RM14.65 bilion.

Oleh sebab OPR adalah kadar faedah pemula, sebarang kenaikan kadarnya akan secara automatik mempengaruhi kadar faedah dikenakan oleh bank ke atas pinjaman dan yang dibayar kepada penyimpan.

Justeru, sebaik sahaja BNM mengumumkan kenaikan OPR, bank-bank komersial pun merombak semula pelbagai peringkat faedah pinjaman.

Malayan Banking misalnya, mengumumkan kenaikan kadar asas pinjaman (BLR) 6.40 peratus kepada 6.65 peratus mulai 8 Mei. Maksudnya, ia kadar permulaan yang akan dikenakan ke atas peminjam.

Bagi kenaikan OPR kali ini, seolah-olah yang salah adalah kita sendiri kerana berbelanja dengan banyak.

Apabila kita berbelanja besar, tekanan inflasi akan naik.

Apatah lagi, di Malaysia, peniaga kurang bertimbang rasa. Mereka menaikkan harga sesuka hati, manakala penguatkuasaan pula setakat melepas batuk di tangga.

Menurut kenyataan BNM, walaupun inflasi keseluruhannya bertambah reda tetapi inflasi teras terus naik melepasi kadar purata jangka panjang.

Inflasi keseluruhannya diramalkan antara 2.8 peratus dan 3.8 peratus tahun ini tetapi inflasi bahan makanan dikhuatiri tinggi. November lalu, inflasi makanan naik hingga 7.30 peratus.

Salah satu fungsi BNM adalah mengawal inflasi. Cara yang kerap digunakan adalah dengan meredakan permintaan penggunaan.

Permintaan pengguna diredakan dengan menaikkan kos duit dan antara cara menaikkan kos duit adalah menaikkan kadar faedah.

Selain mahu mengawal inflasi, mungkin BNM juga bimbang kadar simpanan semakin menurun, khususnya apabila kerajaan membenarkan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika pandemik.

Simpanan di Malaysia mencapai paras tertinggi 26.9 peratus pada Mac 2011 dan jatuh ke paras paling rendah 22.7 peratus pada Mac 2020 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan.

Kadar simpanan mencukupi diperlukan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dalam suasana kerajaan sendiri bergantung kepada hutang bagi menampung perbelanjaan pembangunan.

Kesimpulannya, ada kesan baik dan buruk akibat kenaikan OPR.

Ia boleh membantu menambah simpanan dan memberikan pulangan lebih tinggi kerajaan penyimpan. Ia juga boleh membantu memperkukuhkan nilai ringgit.

Di pihak lain pula, ia membebankan peminjam sedia ada kerana mereka terpaksa membayar kadar faedah lebih tinggi, sementara yang bercadang hendak meminjam untuk membeli rumah misalnya, mungkin membatalkan rancangan mereka.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.

Klik di sini untuk terus membaca