BACHOK - Lebih 40 pesawah di kawasan di Kumpulan Pengurusan Air (KPA) Alor Ganu di sini terpaksa meredah cuaca panas melampau bagi menyelesaikan proses penanaman dan menuai padi di tanah seluas 100 hektar. Keadaan itu menyebabkan ada antara... Klik di sini untuk terus membaca

BACHOK - Lebih 40 pesawah di kawasan di Kumpulan Pengurusan Air (KPA) Alor Ganu di sini terpaksa meredah cuaca panas melampau bagi menyelesaikan proses penanaman dan menuai padi di tanah seluas 100 hektar.

Keadaan itu menyebabkan ada antara mereka kini mengalami demam dan batuk-batuk.

Menurut pesawah, Mohamed Mustafa, 62, berkata, kerja-kerja membanting tulang menggunakan tenaga manusia jentera dan mesin menuai itu selesai keseluruhannya pada Khamis lalu.

"Sedang elok selesai kerja, tanah-tanah sawah mulai merekah sementara air sungai di sekitar kawasan ini juga sudah kering,” katanya kepada Sinar Ahad.

Bagaimanapun, Mohamed berkata, pesawah memulakan proses menabur benih padi lebih awal bermula pada November tahun lalu dan padi subur semasa usia 20 hingga 30 hari pada musim banjir baru-baru ini.

"Selepas 115 hari, padi sedia dituai dan keadaan cuaca panas ini turut membantu proses menjadi lebih mudah dan hasil padi lebih banyak. Musim penanaman seterusnya diharap dapat dilakukan pada Jun ini,” jelasnya.

Seorang lagi petani di Kadok, Salamiah Mat Daud, 62, berkata, untuk mengelakkan panas matahari, dia turun seawal jam 7.30 pagi ke bendang untuk mengerjakan tanaman padinya seluas 4.5 hektar.

"Selama lebih 40 tahun menanam padi, ini kali pertama cuaca paling panas berlaku menyebabkan saya terpaksa balik lebih awal sekitar jam 11 pagi berbanding jam 12 tengah hari dari bendang sebelum ini.

"Saya amal minum air yang banyak pada pagi dan malam tetapi kadang-kala demam tetapi tetap turun ke sawah untuk kerja-kerja meracun dan sebagainya. Keadaan pokok padi ketika ini berwarna kuning dan kelihatan elok kerana cuaca yang terlalu panas terik,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca