IPOH - Cuaca panas berpanjangan tidak mengganggu jadual penanaman padi melibatkan kawasan seluas 76,436 hektar di Perak. Pengarah Pertanian negeri, Norsiyenti Othman berkata, tiada sebarang aduan mahupun permohonan bantuan daripada petani... Klik di sini untuk terus membaca

IPOH - Cuaca panas berpanjangan tidak mengganggu jadual penanaman padi melibatkan kawasan seluas 76,436 hektar di Perak.

Pengarah Pertanian negeri, Norsiyenti Othman berkata, tiada sebarang aduan mahupun permohonan bantuan daripada petani berhubung keadaan sawah padi yang terkena bencana sama ada ribut, kemarau mahupun banjir.

"Pengurusan air negeri yang lebih cekap serta menerima hujan di sebelah petang melihatkan kadar pengairan ke petak sawah terutama di kawasan jelapang padi adalah mencukupi dan mengikut jadual setakat ini.

"Kita bagaimanapun sentiasa bersiap sedia berikutan negara berada pada fasa peralihan monsun. Jadi tempoh April hingga ke September adalah berangin manakala hujan mengejut dan singkat.

"Kita juga mempunyai Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) untuk pesawah dan Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) untuk petani sayur, buah-buahan dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Sementara itu, pesawah, Shahrin Ahmad, 40, berkata, keadaan cuaca panas memberi sedikit kelebihan kepada petani untuk pemulihan tanah sawah.

Tambahnya, keadaan tanah lembut menyebabkan banyak tanaman padi tidak dapat dituai musim lalu.

"Penghujung tahun 2022, pesawah di Kerian hadapi masalah tanah lembut berikutan musim tengkujuh sehinggakan jentuai padi tidak dapat masuk ke petak sawah untuk menuai padi.

"Lebih 15 tahun mengusahakannya, tidak pernah berhadapan perkara itu hinggakan pesawah terpaksa menggunakan cara tradisional untuk menuai padi,” katanya.

Keadaan cuaca panas tidak menjejaskan penanaman padi di beberapa kawasan seluruh Perak.
Keadaan cuaca panas tidak menjejaskan penanaman padi di beberapa kawasan seluruh Perak.
Keadaan cuaca panas tidak menjejaskan penanaman padi di beberapa kawasan seluruh Perak.
Keadaan cuaca panas tidak menjejaskan penanaman padi di beberapa kawasan seluruh Perak.

Di KUALA TERENGGANU, bekalan air untuk tanaman padi di seluruh Terengganu mencukupi bagi memastikan kesuburan tanaman padi ketika ini.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, ia berikutan usaha kerajaan negeri menaik taraf sistem pengairan dan saliran padi.

"Kerja keras kerajaan Terengganu menaik taraf sistem pengairan dan saliran dalam sektor pertanian padi membolehkan kawasan sawah padi di negeri ini mendapat bekalan air yang mencukupi walaupun berdepan keadaan kemarau yang panjang.

"Usaha ini turut dibantu dengan peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurut Azman, jumlah keluasan kawasan penanaman padi di Terengganu ialah 12,542 hektar dengan purata pengeluaran hasil sebanyak 4 hingga 5 metrik tan bagi setiap satu hektar.

Seorang pesawah, Md Remali Said, 67, dari Kampung Gong Duek, Jertih, Besut berkata, walaupun pengairan di sawah padi mencukupi, tanaman itu masih memerlukan air hujan bagi memastikan padi yang dihasilkan lebih berkualiti.

"Apabila padi mula berbuah, perlu juga ada hujan lebih-lebih lagi ketika padi mula menguning. Ia bagi memastikan isi padi atau beras yang dihasilkan lebih berkualiti.

Menurut Md Remali, padi yang diusahakannya kini sudah menguning dan dijangka boleh dituai dalam masa 20 hari lagi.

Sementara di JELEBU, Exco Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, bekalan air ke kawasan sawah padi setakat ini terkawal dan mencukupi.

Katanya, bagaimanapun pihaknya memantau skim penanaman padi di Ulu Muar, Jempol.

"Ia berikutan air yang dibekalkan ke kawasan sawah turut digunakan dan diproses di loji rawatan air berhampiran bagi kegunaan penduduk,” katanya.

Untuk rekod, terdapat lebih 1,000 hektar tanaman padi di Negeri Sembilan melibatkan daerah Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Jelebu.

Klik di sini untuk terus membaca