SAYA minta dikeluarkan dari wad semata-mata untuk menyaksikan pertabalan Raja Charles III.
Begitulah kata Bartley Graham yang berpakaian Union Jack, Rabu lalu. Meski masih ada dua hari sebelum majlis bermula, dia bersama ratusan yang lain, sudah siap memasang khemah kecil masing-masing di sudut terbaik untuk menyaksikan peristiwa bersejarah bagi rakyat British ini.
Pengorbanan Graham berbaloi. Pertabalan Raja England di Westminster Abbey itu disaksikan sekurang-kurangnya 300 juta penonton di seluruh dunia. Kali terakhir dunia menyaksikan upacara yang sama adalah ketika pertabalan mendiang Ratu Elizabeth II pada tahun 1953.
Sejak Khamis lalu, Big Ben bertukar wajah pada malam hari dengan ucapan ‘God Save The King’ dan ‘Long May He Reign’. Sebanyak 57 skrin layar juga dinaikkan di seluruh United Kingdom (UK) untuk menyiarkan secara langsung upacara pertabalan tersebut.
Monarki England nampaknya bukan sekadar penting untuk UK. Dalam dunia tatkala tiada lagi negara dijajah, Raja England masih menjadi payung kepada 15 negara lain. Malah gambar Ratu Elizabeth II masih ada di banyak wang kertas mereka.
Ironinya, bukan semua negara ini berbangga hidup di bawah bayangan monarki British. Misalnya, sebaik saja kemangkatan Ratu Elizabeth II September lalu, Adam Bandt dan pemimpin politik Australia lain kembali giat meneruskan perjuangan menjadikan Australia negara republik yang telah bermula seawal 1832 lagi. Mereka mahukan ketua negara adalah daripada kalangan rakyat mereka sendiri.
Jamaica juga sama. Belum pun majlis pertabalan Raja Charles III berlangsung, pemimpinnya sudah membuat kenyataan untuk menjadi negara republik seawal tahun 2024.
Meski tidak berpayungkan Raja England seperti Australia atau Jamaica, beberapa negara Komanwel lain turut mengambil kesempatan membuat tuntutan daripada Raja Charles III.
Mereka mahu artifak dan harta berharga yang dirampas daripada mereka pada zaman penjajahan dipulangkan semula.
Afrika Selatan contohnya, mahu berlian yang menghiasi Imperial State Crown dan beberapa perhiasan diraja lain dipulangkan kepada mereka.
Berlian dari Cullinan Diamond 3,100 karat itu dikatakan telah dicuri dari tanah mereka.
Selain itu, ada juga negara yang menuntut Raja Charles III membuat permohonan maaf terbuka dan melakukan sesuatu demi menebus dosa atas kezaliman mereka ketika menjajah dulu.
Antaranya pemerdagangan hamba merentas benua dan pembersihan kaum asal atau ‘genosid’ yang pernah berlaku di semua tanah jajahannya termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.
Dua ahli antropologi ekonomi, Jason Hickel dan Dylan Sullivan dalam artikel mereka menyatakan di India sahaja, 100 juta hingga 165 juta rakyatnya terbunuh sepanjang 40 tahun British menjajah negara tersebut.
Ia angka yang jauh lebih tinggi daripada jumlah kematian akibat Perang Dunia dan Holocaust. Ini hanya di India. Tidaklah dapat dibayangkan jumlah sebenar kematian di tanah jajahan lain yang lebih seabad dikuasai British.
Selepas kematian Ratu Elizabeth II, pelbagai tuntutan ke atas monarki England datang tanpa segan silu. Pasti ia tidak mudah bagi Raja Charles III. Sudahlah perlu menanti begitu lama untuk menjadi raja, kini sudah ditabal, terpaksa pula memikirkan bagaimana mahu menebus dosa-dosa silam yang ditinggalkan raja dan ratu sebelumnya.
Yang mampu dilakukan Raja Charles III buat masa ini, hanya tersenyum. Namun, senyuman Raja Charles III meski masih semanis mendiang ibunya, tidak cukup untuk mengubat luka dan memadam api dendam mereka yang pernah menderita dijajah.
Bagi mereka, Raja Charles III tak sepatutnya terus gah dengan takhta yang diwarisi. Sebaliknya baginda harus berasa malu dengan kezaliman nenek moyangnya semata-mata untuk meletakkan England di kedudukan tertinggi di mata dunia hari ini.
Raja England mungkin terkenal. Tapi tatkala negara yang dijajah kebanyakannya sudah merdeka, raja baharu ini pula kian jauh daripada keagungannya.
Nampaknya, benarlah kesakitan silam itu boleh dimaafkan, tapi mustahil untuk dilupakan. Tiada apa yang perlu disangsikan.
Jika Camilla Parker Bowles pun dimarahi rakyat sendiri kerana menghancurkan rumah tangga Puteri Diana, apalah sangat kemarahan negara luar yang pernah dijajah.
Agenda Gold, God and Glory pada masa silam begitu menyakitkan, meragut segala yang mereka pernah ada, termasuk kita di Malaysia.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca