SHAH ALAM - Pekerja swasta boleh membuat laporan di bawah Akta Kerja 1955 sekiranya berdepan dengan isu perbuatan curang, menjalinkan hubungan sulit dan memanggil rakan sekerja dengan gelaran sayang atau dear.
Peguam, Ng Xin Ru berkata, tindakan itu merupakan antara perkara yang boleh diambil pekerja dalam sektor berkenaan apabila berdepan dengan gangguan sedemikian.
"Definisi gangguan seksual di Seksyen 2 Akta Kerja 1995 membawa maksud apa-apa kelakuan yang tidak diingini yang bersifat seksual, sama ada secara lisan atau sebaliknya, penglihatan, isyarat, tindakan atau fizikal yang telah dilakukan kepada seseorang di mana perbuatan tersebut dianggap sebagai memalukan atau menyakitkan atau mengancam nyawa semasa dalam atau luar waktu pekerjaan.
"Meskipun tiada bentuk-bentuk secara spesifik yang ditentukan oleh akta tersebut, tetapi mahkamah boleh membuat dapatan sama ada sesuatu perbuatan merupakan gangguan seksual atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kesalahan sebegitu juga boleh dilaporkan jika dialami oleh pekerja swasta di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
Ia susulan surat edaran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 7 April lalu yang menjelaskan bahawa perbuatan curang, menjalinkan hubungan sulit dan memanggil rakan sekerja dengan gelaran sayang atau dear boleh dikenakan tindakan tatatertib.
Surat tersebut turut menjelaskan perkara itu antara salah satu jenis gangguan dan kesalahan penjawat awam yang diperincikan dalam pekeliling berkenaan.
Mengulas lanjut, Xin Ru berkata, gangguan seksual boleh berlaku melibatkan sesama pekerja, pekerja terhadap majikan atau majikan terhadap pekerja.
Sekiranya seseorang pekerja menerima gangguan seksual katanya, mereka boleh membuat aduan kepada majikan.
"Majikan harus membuat siasatan terhadap aduan tersebut dengan memberi surat tunjuk sebab dan sekiranya berlakunya gangguan seksual, tindakan yang boleh dilakukan adalah Seksyen 81C Akta Kerja,” kata beliau.
Tambahnya, hasil daripada siasatan berhubung gangguan seksual terhadap pekerja yang didapati bersalah, majikan boleh mengambil beberapa langkah antaranya memberhentikan pekerja tanpa notis.
"Selain itu, menurunkan pangkat pekerja atau menjalankan apa-apa hukuman lain yang dianggap patut dan munasabah (di mana hukuman penggantungan tanpa upah yang dikenakan hendaklah tidak melebihi tempoh dua minggu) juga antara langkah yang boleh diambil ke atas pekerja didapati melakukan perbuatan tidak bermoral itu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca