SEJAUH mana perjuangan tauhid kepada ALLAH SWT Yang Maha Esa oleh para anbiya (jamak bagi nabi) dan para rasul alaihimissalam berasaskan tonggak perjuangan kaum-bangsa boleh diringkaskan dalam tiga bahagian perbincangan.
Perbincangan pertama adalah tentang para anbiya yang berdakwah kepada kaum mereka menurut kepercayaan Millat Nabi Ibrahim a.s. seperti yang tertera dalam ayat 84-92 surah al-An‘am. Antara mereka ialah Ishaq, Isma‘il, Ya‘qub, Nuh, Dawud dengan kitab Zabur, Sulaiman, Ayyub, Yusuf, Harun, Zakariyya, Yahya, Ilyas, Alyasa‘, Yunus dan Lut alaihimissalam.
Ayat 73 surah al-A‘raf mengisahkan dakwah Nabi Salih a.s. kepada kaumnya, Thamud iaitu suku bangsa Arab di al-Hijr di barat laut Jazirah Arab.
Ayat 85-86 surah al-A‘raf menjelaskan dakwah Nabi Shu‘aib a.s. kepada kaumnya Madyan, suku bangsa Arab di Tabuk, barat laut Jazirah Arab.
Cerita Nabi Nuh a.s. berdakwah kepada kaumnya terdapat dalam ayat 71-74 surah Yunus.
Ayat 50-60 surah Hud menceritakan bagaimana Nabi Hud a.s. berdakwah kepada kaumnya ‘Ad, suku bangsa kuno yang tinggal di daerah al-Ahqaf, utara Hadramaut.
Seruan para anbiya yang ditolak atau diterima oleh kaumnya tidak menjadi tonggak perjuangan tauhid sejagat.
Perbincangan kedua adalah tentang peranan Nabi Musa a.s. dengan kitab Taurat dan Nabi ‘Isa anak Maryam a.s. dengan kitab Injil.
Di samping Nabi Musa berdakwah kepada kaumnya, Bani Israel dan menyelamatkan mereka, baginda juga menyeru kepada Firaun, penguasa Mesir, tentang keesaan serta kekuasaan ALLAH.
Akhirnya dakwah Nabi Musa terhad kepada Bani Israel dan tidak diterima oleh Firaun dan rakyatnya.
Walaupun pengikutnya bertambah ramai, Nabi ‘Isa berdepan dengan golongan pendeta oportunis Bani Israel yang bersekongkol dengan penguasa musyrikin Romawi di Palestin, khususnya di Jerusalem.
Majlis Pertama Nicaea (sebutan nai-si-ya) – bandar kuno itu kini ialah Iznik, Turkiye – dinaungi oleh Maharaja Rom Konstantin I. Ia berlangsung pada tahun 325 Masihi serta dihadiri oleh amat ramai uskup Kristian dari Britannia hingga Parsi.
Majoriti mereka menentukan bahawa kepercayaan triniti diterima dan kepercayaan tauhid unitarian ditolak. Ini sekali gus menjadikan golongan tauhid unitarian ditindas, diburu dan dibunuh. Antara pencemar ajaran tauhid Nabi ‘Isa ialah Santos (Wali) Paul–Saul dari Tarsus yang hidup sekitar 5-65 Masihi.
Dogma triniti Kristian lebih mudah diterima oleh penganut bukan Yahudi serta golongan Romawi yang mengagungkan 'triad tiga tuhan' – Jupiter, Juno dan Minerva.
Kini golongan majoriti Kristian ialah trinitarian dan amat sedikit bilangan Kristian unitarian. Kesemua umat Kristian kini merangkumi banyak kaum di dunia.
Perbincangan ketiga adalah tentang dakwah Nabi Muhammad SAW dengan kitab suci al-Quran kepada insan sejagat. Antara ciri mulia sosok baginda ialah khatam anbiya atau pengakhir (penutup) anbiya dan rahmatun lil-‘alamin (rahmah bagi seluruh alam).
Dakwah awalnya diterima oleh ahli keluarga dan sahabat terdekat tetapi juga ditolak oleh beberapa bapa saudara serta ahli keluarga lain.
Bilal bin Rabah al-Habsyi a.s. yang lahir di Makkah dalam keluarga hamba Habsyah, beriman apabila dakwah Rasulullah tersebar di Makkah sebelum hijrah. Salman al-Farisi a.s. yang berasal dari Parsi beriman kepada Rasulullah di Madinah selepas hijrah.
Bagi dua kumpulan umat Islam yang berhijrah dari Makkah, Rasulullah memohon perlindungan daripada Najasyi – raja Kristian di Aksum, Habsyah yang kemudian menjadi muslim.
Bani Aus bangsa Arab cabang Qahtan serta Bani Khazraj bangsa Arab cabang Qailah menjadi golongan al-Ansar di Madinah sewaktu hijrah besar-besaran umat Islam dari Makkah.
Nabi Muhammad tidak pernah menggunakan tonggak dan seruan bangsa Arab – tidak kira apa kabilah atau bani pun. Dari awal hingga akhir, dakwah baginda bersifat ‘alamiyyah (kesejagatan) dan bukan qaumiyyah (perkauman).
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial
Klik di sini untuk terus membaca