SHAH ALAM - Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan dijangka menjadi platform memuktamadkan kerangka kerjasama parti dalam kerajaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Penganalisis Politik daripada Universiti Teknologi Mara... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan dijangka menjadi platform memuktamadkan kerangka kerjasama parti dalam kerajaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Penganalisis Politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berpandangan, konvensyen berkenaan merupakan medan membina persefahaman dengan berkomunikasi bagi menjernihkan persepsi, mengikis prejudis dan kolaborasi dalam landskap politik baharu.

"Beberapa perkara seperti pembahagian kerusi, calon poster boy, penyelarasan kempen, keseragaman naratif mengimbangi kempen lawan, menangani serangan politik kaum serta agama yang dijangka menjadi modal lawan adalah tumpuan sebenar kerajaan yang moderat.

"Konvensyen ini penting dan sepatutnya dibuat lebih awal kerana selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, penerangan dan engagement kepada akar umbi daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) hampir tiada sedangkan ia sangat penting berdasarkan situasi ketika PRU15 dan sejarah perseteruan antara kedua-duanya.

"Perhimpunan ini harus mengangkat dan menjadi platform penyatuan, persefahaman serta komitmen semua supaya faham bahawa sebagai parti yang membentuk kerajaan, mereka adalah rakan penting dalam menentukan hala tuju negara,” katanya pada Ahad.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan akan berlangsung pada 14 Mei ini melibatkan hampir 10,000 ahli daripada 19 parti dalam gabungan itu.

Mujibu berpendapat, barisan pemimpin kerajaan perlu menggunakan peluang ini untuk memberi penerangan dan jaminan kepada akar umbi bahawa kerjasama politik tidak memberi kesan kepada status quo parti masing-masing.

"Pemimpin (parti) harus menggunakan konvensyen ini untuk menyelaraskan komunikasi bagi mengelakkan ‘tembak kaki sendiri’ terutama dalam hal berkaitan parti masing-masing dan membuka peluang kepada lawan untuk memanipulasikannya, sekali gus membentuk persepsi negatif serta tidak selesa kepada akar umbi.

"Akar umbi juga perlu menggunakannya untuk bertemu dan berkomunikasi bagi menjernihkan persepsi selepas kedua-duanya bertempur sengit dalam PRU15,” jelasnya.

Sementara itu Penganalisis Politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, konvensyen berkenaan bakal menjadi penanda aras mengenai kerjasama parti dalam kerajaan yang semakin kukuh dengan sokongan 148 ahli Parlimen.

"Konvensyen ini akan membuktikan keutuhan Kerajaan Perpaduan untuk kekal hingga habis penggal Parlimen walaupun pelbagai andaian timbul.

"Kesemua 19 parti berazam mengukuhkan iltizam bahawa apa sahaja yang berlaku, mereka akan tetap di belakang kerajaan bagi memastikan Malaysia kembali ke landasan yang kukuh untuk menerima pelaburan, kerjasama negara luar demi membangunkan ekonomi negara. Ia satu penyataan yang penting dan bukan mitos,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca