BANK Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada tiga peratus.
Sebelum ini antara Januari 2020 hingga Julai 2020, OPR mengalami penurunan iaitu dari 2.75 peratus (Januari 2020) kepada 2.5 peratus (Mac 2020), turun kepada 2.0 peratus (Mei 2020) dan turun lagi kepada 1.75 peratus (Julai 2020).
Trend itu berlaku ketika negara berhadapan dengan pelbagai krisis pada tahun 2020 termasuk pandemik Covid-19. Ini bermakna pada masa itu, kuasa membeli dan aliran wang terus berlaku. Pada masa sama, pelaksanaan moratorium bank membolehkan rakyat membeli barangan keperluan harian.
Kuasa membeli tersebut juga secara tidak langsung membantu perusahaan mikro, kecil & sederhana (PMKS) untuk bernafas selain menggerakkan ekonomi gig ke tahap yang jauh lebih tinggi.
Kenaikan OPR memberikan kesan positif dan negatif. Yang menerima impak positif adalah pihak bank. Melalui kenaikan ini, maka pendapatan bank akan meningkat dengan mengambil kira antara lain peningkatan bayaran ansuran bulanan oleh peminjam.
Ia juga memberi impak yang positif kepada pendeposit tetap yang akan menerima pulangan kadar keuntungan yang lebih tinggi. Begitu juga dengan pelabur yang berpotensi memperoleh pulangan yang lebih besar dan seterusnya menjadi tarikan kepada pelabur baharu.
Namun dalam masa yang sama kesan dan bebanan dirasai oleh lebih ramai rakyat Malaysia.
Berapa peratuskah rakyat Malaysia yang menjadi pendeposit tetap atau membuat pelaburan melalui simpanan atau bon di bank? Berapa peratuskah yang menjadi peminjam dan membayar ansuran bulanan pinjaman bank?
Sebelum ini, tinjauan celik kewangan RinggitPlus Malaysia 2022 mendapati 63 peratus rakyat negara ini hanya mampu bertahan tiga bulan atau kurang dengan wang simpanan mereka manakala 70 peratus menyimpan kurang RM500 sebulan atau tidak menyimpan langsung.
Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2022 oleh Jawatankuasa Kerja Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) pula antara lain mendapati 47 peratus responden mengakui sukar menyediakan wang kecemasan RM1,000 dan hanya 20 peratus mampu menampung perbelanjaan hidup bagi tempoh tiga bulan atau lebih, jika hilang pendapatan.
Semasa pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan telah mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan kepada banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000 sebanyak dua peratus yang memberi lebihan pendapatan boleh guna.
Malangnya apabila OPR naik, maka selepas ini sebahagian lebihan pendapatan itu terpaksa digunakan untuk membayar pinjaman bank pula.
Dengan kenaikan OPR ini juga maka kuasa membeli pengguna akan berkurangan disebabkan pengguna terpaksa menggunakan pendapatan yang ada untuk membuat bayaran pinjaman bulanan yang lebih tinggi.
Lebih memeritkan, selepas rakyat memperuntukkan lebih banyak pendapatan mereka untuk membayar pinjaman, mereka juga perlu lebih berjimat untuk perbelanjaan lain dan berhadapan dengan tekanan luar biasa terhadap kenaikan mendadak harga barang.
Perusahaan mikro, kecil dan sederhana juga terjejas apabila kuasa membeli pengguna berkurangan.
Oleh itu, BNM perlu mengkaji kesan kenaikan OPR ini dan bagaimana ia benar-benar berjaya mengawal kadar inflasi negara dan tidak membebankan rakyat dan industri.
Persoalannya, bagaimana keadaan akan menjadi lebih baik apabila rakyat memperoleh pendapatan yang hampir sama dan dalam masa yang sama perlu membayar kadar pinjaman yang lebih tinggi selain membeli barangan keperluan harian yang harganya naik mendadak?
Secara rasionalnya, tentu akan ada perbelanjaan yang akan dikorbankan disebabkan tekanan dari pelbagai penjuru. Akhirnya, rakyat Malaysia yang terjerumus ke dalam hutang kerana tidak dapat mengikut jadual bayaran balik pinjaman akan terus meningkat.
Justeru, peminjam yang berhadapan dengan kesukaran untuk membuat bayaran ansuran pinjaman sebolehnya memohon penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman dengan pihak bank atau berhubung dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bimbingan dalam menyelesaikan pengurusan kewangan peminjam.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca