DIBERI amanah memimpin Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan oleh pengundi pada PRU14 memberi tekad kepada Sulaiman Sulong untuk membawa perubahan kepada kawasan tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan itu... Klik di sini untuk terus membaca

DIBERI amanah memimpin Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan oleh pengundi pada PRU14 memberi tekad kepada Sulaiman Sulong untuk membawa perubahan kepada kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan itu memberi tumpuan menyelesaikan masalah bekalan air dan liputan talian komunikasi yang agak lemah berikutan kedudukan Pengkalan Berangan sebagai kawasan luar bandar.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Rahayu Mustafa bersama Sulaiman yang turut menyentuh tentang politik semasa yang berlaku dalam negara termasuk serangan bertali arus terhadap Pas.

SINAR AHAD: Selama satu penggal menjadi wakil rakyat di DUN Pengkalan Berangan, sejauh mana perubahan yang berjaya dibawa YB dan apa pembaharuan akan diberi tumpuan pada masa akan datang?

SULAIMAN: Apabila kita menang dalam PRU14, antara isu yang berlegar dalam komuniti Pengkalan Berangan adalah bekalan air dan liputan telekomunikasi yang agak lemah, jadi kita fokus kepada dua perkara ini untuk penyelesaian sama ada dalam masa terdekat atau jangka panjang.

Untuk bekalan air yang merupakan isu agak kritikal juga pada waktu itu, pertama bekalan tidak mencukupi, kedua paip-paip lama yang belum diganti mengakibatkan kebocoran atau paip pecah, ketiga bekalan air ke tangki-tangki air di daerah Marang dan Pengkalan Berangan tidak mencukupi.

Jadi Alhamdulillah, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM6 juta untuk menggantikan paip ini telah selesai.

Berkenaan liputan talian komunikasi, kita sedia maklum bahawa Pengkalan Berangan adalah kawasan luar bandar jadi melalui pakej Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diusahakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), hampir 10 menara pencawang baru dibina di DUN Pengkalan Berangan dan kita harap ia mampu untuk menyelesaikan masalah berkaitan liputan.

Untuk perancangan akan datang, kita sedang memajukan Kawasan Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) di beberapa tempat dan kita rasa paling berjaya adalah di Merchang Lestari yang dijenamakan semula dengan Pantai Angin Berbisik dan beberapa tempat lain yang dalam perancangan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk memastikan Merchang menjadi sebuah pekan yang ada tarikan tersendiri.

Kita juga bercadang lot Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) pertanian yang diagihkan kepada penerima yang layak selepas ini akan dimanfaatkan sebaiknya supaya dapat dimajukan untuk menjadi pendapatan sampingan atau memberi peluang pekerjaan.

SINAR AHAD: Bagaimana YB melihat Terengganu di bawah kepimpinan Pas dan Perikatan Nasional. Adakah benar dakwaan segelintir pihak bahawa Pas tidak mampu mentadbir sebuah negeri dengan baik?

SULAIMAN: Kita melihat secara keseluruhan di peringkat Pas atau parti kita sebenarnya serius dalam memastikan pembangunan negeri berjalan mengikut jadual.

Maka untuk itu Pas dan kerajaan negeri telah pun melancarkan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030). Ini sebagai bukti komitmen dan kesungguhan kita supaya pembangunan negeri dirancang mengikut pelan dan tindakan-tindakan yang sepatutnya.

Jadi bagi orang yang menyatakan bahawa tidak berjaya dan seumpamanya itu adalah satu tohmahan dan anggapan kurang tepat sebab kita serius memastikan Terengganu terus maju berkat sejahtera.

SINAR AHAD: Ada dakwaan mengatakan kerajaan diterajui Pakatan Harapan dan BN dikatakan melayan negeri pembangkang sebagai anak tiri selain cuba memberi imej buruk. Bagaimana YB melihat perkara ini, impak terhadap negeri-negeri terlibat dan jalan penyelesaiannya?

SULAIMAN: Sebagai sebuah kerajaan, dia ada tanggungjawab masing-masing, negeri ada tanggungjawab negeri, pusat ada tanggungjawab pusat dan ada juga tanggungjawab bersama.

Jadi sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, kita kena mengiktiraf pilihan pengundi yang telah memilih.

Apabila pengundi telah memilih mana-mana parti untuk membentuk kerajaan, maka kerajaan negeri, kerajaan pusat mesti bertanggungjawab untuk memastikan setiap hasil yang dikutip dikembalikan kepada rakyat secara adil.

Jadi sekiranya kata ada berlaku anak tiri dan seumpamanya insya-ALLAH kita harap dapat diselesaikan secara diplomasi.

SINAR AHAD: Kepimpinan Perikatan Nasional telah memutuskan Terengganu dan Kelantan akan menggunakan lambang bulan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi. Adakah PN akan berjaya mengulangi kejayaan dalam PRU lalu dan atas faktor apa Pas mampu raih kemenangan?

SULAIMAN: Di peringkat negeri yang mempunyai majoriti pengundi Melayu, pengaruh Pas agak besar dan kalau sebelum PRU14, pengaruh Pas dan UMNO, BN dia semacam sama, tinggal lagi bagaimana untuk menguasai pengundi atas pagar sama ada mereka nak bersama Pas atau UMNO BN.

Melihat kepada situasi itu pimpinan kita merasakan bahawa Pas lebih dikenali di peringkat negeri dan bagi saya, pimpinan mengambil keputusan bijak apabila memutuskan Terengganu dan Kelantan menggunakan lambang Pas pada PRN.

Harapan saya biasalah, setiap parti yang bertanding nak menang, kalau orang tanya nak menang berapa, kita bertanding berapa, jumlah itulah kita nak menang.

SINAR AHAD: Sejak akhir-akhir ini, pemimpin Perikatan Nasional termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang diserang dengan pelbagai tuduhan. Bagaimana YB melihat perkara ini?

SULAIMAN: Setiap pemimpin ada ujian tersendiri dan kita melihat serangan kepada Tok Guru Presiden ini adalah serangan bersifat peluru kapur saja, bukan serangan bersifat orang kata tepat dan mengena sasaran kerana kita kenal siapa tok guru, kita kenal siapa batang tubuh pimpinan Pas negeri Terengganu.

Jadi tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan itu adalah tuduhan yang saya fikir tidak berasas, tidak tepat pada sasaran dan tok guru sendiri pun telah menunjukkan apa yang diucap itulah yang ingin dilaksanakan sama ada dalam pentadbiran kerajaan mahupun pentadbiran parti.

SINAR AHAD: Apakah harapan YB terhadap kerajaan Madani dalam memacu kemajuan negara dan dari segi konteks negeri Terengganu sendiri?

SULAIMAN: Harapan saya adalah tunaikan tanggungjawab, amanah, berlaku adillah kepada siapa pun yang kamu hadap.

PROFIL

Nama: Sulaiman Sulong

Asal: Kampung Tuman Pengkalan Berangan

Status: Berkahwin dan mempunyai enam anak

Kelulusan: Sarjana Muda Syariah, Universiti Al Azhar, Damanhur, Mesir

Jawatan:

- Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu

- ADUN Pengkalan Berangan

- Setiausaha Pas Kawasan Marang

Klik di sini untuk terus membaca