PORTUGIS, Belanda dan Inggeris pernah meletakkan Melaka dan kawasan perairannya sebagai mempunyai nilai strategik dari sudut pengekalan kekuasaan ketenteraan, penaklukan wilayah baharu, di samping monopoli laluan perdagangan global. Hari... Klik di sini untuk terus membaca

PORTUGIS, Belanda dan Inggeris pernah meletakkan Melaka dan kawasan perairannya sebagai mempunyai nilai strategik dari sudut pengekalan kekuasaan ketenteraan, penaklukan wilayah baharu, di samping monopoli laluan perdagangan global.

Hari ini Selat Melaka kekal sebagai laluan strategik ketenteraan dan perdagangan yang amat kritikal, bukan sahaja kepada negara-negara Asia Tenggara tetapi negara kuasa besar global. Setiap tahun dianggarkan 70,000 kapal menggunakan laluan sepanjang 800 kilometer (km) yang menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan.

Setiap hari 15 juta tong minyak dibawa melalui Selat Melaka yang memberi kesan besar kepada aktiviti kuasa ekonomi global seperti China dan Jepun.

Sebarang gangguan terhadap kelancaran laluan maritim bakal mengundang bencana yang bukan sedikit kepada negara. Ini melibatkan pelbagai aspek, terutama dalam menyokong kesinambungan pertumbuhan ekonomi yang stabil untuk kesejahteraan negara berdaulat.

Konflik Rusia-Ukraine contoh terkini menyaksikan bagaimana sekatan menggunakan platform angkatan laut serta penggunaan periuk api untuk menghalang laluan maritim membawa kepada krisis kekurangan bekalan gandum global.

Semestinya kekuatan kehadiran aset dan platform ketenteraan sesuatu yang amat kritikal. Setidaknya ia mampu menjamin keselamatan laluan di samping mengekalkan kedaulatan, penguasaan kawasan serta integriti sempadan maritim negara.

Apa yang membimbangkan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kemampuan pihak yang diberi amanah mempertahankan kawasan serta persempadanan maritim negara ini seakan semakin lesu.

Sebaliknya, negara-negara jiran yang turut mempunyai sempadan dan kepentingan terhadap Selat Melaka semakin menggandakan usaha mengukuhkan kemampuan aset ketenteraan maritim di kawasan terbabit.

Sekiranya mahu mencari kayu pengukur apa yang dilakukan negara-negara kejiranan Selat Melaka, tidak perlu pergi jauh. Awal bulan ini pada pameran maritim IMDEX 2023 di Singapura, ia begitu terserlah sekali.

Pada pameran itu, Singapura mengumumkan bakal memperolehi enam kapal baharu kelas MRCV atau kapal tempur pelbagai misi menggantikan kapal korvet peluru berpandu kelas Victory.

Kapal pertama bakal diterima pada 2028. Selain sebagai kapal tempur, ia juga mampu digunakan sebagai kapal induk untuk membawa pelbagai sistem dron bagi membolehkannya beroperasi dalam pelbagai misi lain.

Enam kapal friget kelas Formidable pula bakal menjalani peningkatan keupayaan tempur, menggantikan peluru berpandu permukaan ke permukaan jenis Harpoon kepada sistem Blue Spear SSM yang mempunyai jangkauan jarak ke sasaran sehingga 290km.

Angkatan kapal selam Singapura juga bakal dipertingkatkan dengan kapal selam kelas Challenger dan dua kapal kelas Archer sedia ada bakal digandingkan dengan empat kapal selam kelas Invincible 218S buatan Jerman.

Ia direka bentuk khusus untuk beroperasi di kawasan air cetek dengan laluan sibuk, ciri sinonim dengan Selat Melaka. Kapal pertama dijangka diterima tahun ini, manakala tiga lagi akan diterima antara 2024 dan 2025.

Tidak mahu ketinggalan dalam keupayaan platform maritimnya, Indonesia dikatakan mahu memperolehi sejumlah 12 kapal selam bagi menyokong operasi empat kapal selam sedia ada.

Firma Perancis, Naval Group sedang berusaha membekalkan dua kapal selam kelas Scorpene, manakala firma Jerman Thyssen Marine Systems berminat membekalkan kapal selam Type 214.

Pada pameran ini juga diumumkan, angkatan laut Indonesia pada penghujung bulan ini akan menerima dua buah kapal penyapu ranjau/periuk dengan kerangka luar diperbuat daripada keluli tidak magnetik.

Sifat tidak magnetik kerangka Kapal KRI Pulau Fulani dan KRI Pulau Fanildo ini memberikan ia kelebihan, antara lain kemampuan bertahan daripada gelombang letupan periuk api lebih baik berbanding kapal penyapu ranjau diperbuat daripada gentian fiber plastik diperkuat.

Tahun ini Indonesia juga telah menerima kapal khusus berfungsi sebagai hospital bergerak. Kapal KRI Dr Radjiman Wedyodiningrat sepanjang 124 meter ini mampu memberikan rawatan kepada kelasi tentera laut ketika konflik atau pihak awam ketika bencana alam.

Kerancakan aktiviti peningkatan negara-negara jiran ini kadangkala mengundang kegusaran.

Dengan segala kemelut berkaitan aset tentera laut, apakah di masa hadapan kita akan hanya memiliki Selat Melaka hanya pada namanya sahaja, namun tiada upaya untuk mempertahankannya.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca