BIARPUN terdapat dakwaan pakatan pembangkang berjaya memujuk lebih 126 ahli Parlimen untuk menandatangani akaun bersumpah (SD), namun ia tidak bermakna kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang dalam masa terdekat. Ia... Klik di sini untuk terus membaca

BIARPUN terdapat dakwaan pakatan pembangkang berjaya memujuk lebih 126 ahli Parlimen untuk menandatangani akaun bersumpah (SD), namun ia tidak bermakna kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang dalam masa terdekat.

Ia kerana selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020, banyak pihak termasuk Anwar sendiri pernah mendakwa dirinya mempunyai cukup SD untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun, beliau gagal membuktikan kesahihan dakwaannya.

Begitu juga Muhyiddin yang pernah mendakwa mempunyai SD mencukupi untuk diangkat sebagai Perdana Menteri kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun tetap gagal membuktikannya.

Jadi cara terbaik, demokrasi dan adil bagi membuktikan Anwar hilang kelayakan menyandang jawatan Perdana Menteri adalah pembangkang wajib mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahli Parlimen Tambun itu melalui Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada 22 Mei ini.

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, biarpun Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) melarang ahli Dewan Rakyat bertukar parti politik, namun ia tidak menghalang mereka menandatangani SD atau mengundi untuk menyokong mana-mana pemimpin politik menjadi perdana menteri baharu.

Kata Wan Junaidi, pada asasnya akta itu berkaitan dengan larangan ahli Dewan Rakyat daripada bertukar parti politik selepas memenangi kerusi Parlimen dalam pilihan raya sebelumnya.

"Sebab itulah akta tersebut memberi tempoh 21 hari kepada speaker untuk mendapat pengesahan daripada parti politik sama ada ahli Parlimen yang menandatangani SD itu sudah melompat parti atau tidak,” katanya kepada Sinar Premium.

Namun Wan Junaidi juga secara peribadi mengakui kurang menyokong tindakan mana-mana pihak mempersembahkan SD kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.

"Sebab itulah sebelum PRU15, saya pernah mengatakan bahawa dakwaan konon pemimpin tertentu mempunyai cukup SD adalah satu tohmahan semata-mata, kecuali mereka berjaya mendapat sokongan majoriti wakil rakyat di Parlimen.

"Realitinya hanya akan berlaku jika Yang di-Pertuan Agong memikirkan ‘dalam hematnya’ bahawa seseorang ahli Parlimen mendapat sokongan majoriti seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, Perkara 40, Perlembagaan Persekutuan menjelaskan kuasa melantik Perdana Menteri adalah terletak di bawah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong berlandas kepercayaan atau dengan hemah baginda.

"Kalau PN kata mereka memiliki sokongan majoriti misalnya 126 ahli Parlimen, maka ia perlu dibuktikan menerusi usul tidak percaya kepada perdana menteri dalam Dewan Rakyat semasa sidang akan datang,” katanya.

SD sering dipertikai

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla pula menjelaskan, SD boleh digunakan untuk membuktikan sekiranya Anwar hilang sokongan majoriti ahli Parlimen, namun ia tertakluk kepada kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, secara amnya terdapat pelbagai kaedah untuk menunjukkan seseorang ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi seorang Menteri Besar, Ketua Menteri mahu pun Perdana Menteri.

Bagaimanapun Haniff Khatri berkata, kesahihan dan keabsahan SD kini sering dipertikai pelbagai pihak termasuk istana dan rakyat kerana sering disalah guna oleh pihak tertentu.

"Sebab itu saya percaya cara paling demokratik untuk menjatuhkan seseorang perdana menteri dan kerajaan sedia ada sekarang ialah mengikut Perlembagaan Persekutuan iaitu membentangkan usul undi tidak percaya di Parlimen.

"Perkara 43(4) jika perdana menteri sudah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan jemaah menteri atau memohon Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat bagi memberikan laluan kepada pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari,” katanya.

Haniff Khatri berkata, Speaker Dewan Rakyat juga perlu berlaku adil dengan menerima usul undi tidak percaya sekiranya dibawa oleh pembangkang ke Parlimen nanti.

"Apabila muncul persoalan mengenai sokongan majoriti, maka semua pihak sama ada Istana Negara atau Speaker Parlimen wajar menerima usul berkenaan kerana ia selari dengan prinsip demokrasi dan keluhuran Perlembagaan,” katanya.

Langkah kamikaze?

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir pula tidak melihat akan ada wakil rakyat PH-BN melakukan tindakan kamikaze dengan meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen bagi membolehkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan serentak dengan pilihan raya di enam negeri, sekali gus menjadi titik permulaan kepada kejatuhan kerajaan pimpinan Anwar.

Bahkan kata Jeniri, tidak mungkin akan ada ramai ahli Parlimen sanggup mengorbankan diri untuk memberi laluan kepada PRK biarpun undang-undang anti lompat parti membenarkan mereka mempertahankan kerusi berkenaan.

"Ini kerana tiada siapa boleh memberi jaminan 100 peratus bahawa mereka boleh menang semula kerusi berkenaan pada PRK susulan perkembangan politik semasa termasuk pembentukan kerjasama BN-PH,” katanya.

Beliau berkata, tindakan kamikaze itu akan menjadi sia-sia jika hanya beberapa orang ahli Parlimen BN-PH yang bertindak meletakkan jawatan manakala selebihnya enggan berbuat demikian.

"Jika hanya tiga atau empat orang sahaja meletakkan jawatan selaku ahli Parlimen maka impaknya tidak besar.

"Namun jika lebih 45 ahli Parlimen BN-PH berbuat demikian, barulah impaknya besar sehingga mampu menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar di Putrajaya sekarang,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca