SHAH ALAM - Pendapatan kecil tidak menghalang seorang pekerja sambilan, Nur Fatin Hafizah Ahmad Bukhori, 27, mencarum secara sukarela ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meskipun sekadar RM50 sebulan. Pekerja industri kecil dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pendapatan kecil tidak menghalang seorang pekerja sambilan, Nur Fatin Hafizah Ahmad Bukhori, 27, mencarum secara sukarela ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meskipun sekadar RM50 sebulan.

Pekerja industri kecil dan sederhana (IKS) itu berkata, caruman telah dibuat sejak dua tahun lalu menyedari kepentingan untuk mempunyai dana hari tua.

"Gaji saya tidak tetap, maksimum yang boleh dapat dalam RM750 sebulan. Jadi, jumlah caruman saya bergantung kepada jumlah gaji.

"Sekurang-kurangnya RM50 saya akan asingkan untuk masuk KWSP, jika dapat banyak (pendapatan), saya carum RM95,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Bagi seorang pengusaha kantin, Rohani Shamsudin, 48, pula, walaupun telah mencarum sendiri sejak 10 tahun lalu, dia mula membuat caruman secara konsisten sejak pandemik Covid-19.

Katanya, pandemik Covid-19 telah memberi kesan terhadap perniagaan dan menyebabkan restoran yang diusahakan terpaksa ditutup.

"Saya keluarkan dana KWSP ketika pandemik Covid-19, ketika itu saya sedar pentingnya ada simpanan KWSP. Sebelum ini saya buat caruman sendiri tapi tak konsisten.

"Jadi saya mula disiplinkan diri simpan sehingga RM200 setiap bulan untuk KWSP. Saya lihat antara kebaikan simpanan KWSP bagi peniaga kecil, mudah untuk sebarang urusan dengan bank,” katanya.

Sementara itu, pekerja bebas, Mazni Hanis Mansor, 27, berkata, bukan mudah untuk mendidik diri mencarum sendiri kerana komitmen yang ditanggung semakin bertambah.

Namun dia tetap akan memperuntukkan sebanyak lima peratus daripada pendapatan untuk simpanan KWSP setiap bulan demi masa depan.

"Sejak ada anak, saya sedar pentingnya ada simpanan untuk masa depan. Jadi apabila dapat bayaran, saya akan utamakan komitmen bulanan dan KWSP,” jelas wanita itu.

Klik di sini untuk terus membaca