CERITA ini telah menjadi kisah epik yang banyak ditulis di mana-mana, bahkan dalam buku teks psikologi. Hillary Clinton, ketika kempen Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1996 di Washington, bercerita tentang lawatannya ke Bosnia yang ketika itu masih wilayah perang.
Katanya: "Saya masih ingat lagi, saya mendarat di celah-celah tembakan penembak tepat. Sepatutnya ada sedikit upacara sambutan di lapangan terbang, tapi sebaliknya kami perlu berlari dengan kepala menunduk, untuk pergi ke kenderaan.” Ternyata lama setelah itu, diketahui dakwaan Hillary hanyalah dongeng sahaja. Ia cerita direka-reka.
Banyak laporan media, bahkan ada video yang menunjukkan tidak pun ada situasi genting sebegitu. Malah beliau yang ditemani anak gadisnya, Chelsea diberikan acara sambutan bersesuaian ketika dia sampai.
Sama ada Hillary cuba berbohong, atau terlupa, hanya dirinya sahaja yang tahu. Tetapi begitulah ahli politik, di dunia mana sekalipun.
Mereka cuba memainkan emosi kita kononnya mereka selalu teraniaya, atau sengaja bercerita hal untuk menguntungkan mereka sahaja.
Donald Trump dikatakan telah berbohong atau dalam bahasa indahnya, mengeluarkan lebih 30,573 kenyataan yang mengelirukan sepanjang empat tahun pentadbirannya sebagai Presiden. Hal ini dilaporkan dalam Washington Post, akhbar yang berpengaruh di Amerika Syarikat. Jika dibahagikan, Donald Trump telah berbohong 20 kali sehari.
Bukanlah ini bermakna orang biasa seperti kita ini suci sepanjang hari juga.
Satu kajian menunjukkan bahawa orang awam berbohong dengan anggaran dua kali sehari. Ia kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat yang terbit 27 tahun dahulu.
Kajian bertajuk Lying In Everyday Life ini terbit di jurnal yang terkemuka mungkin patut dibaca oleh kita semua, termasuk ahli politik. Tidaklah pula diketahui jika kini purata orang biasa lebih banyak berbohong atau kian mengurang.
Tapi, berbohong orang politik ini besar risikonya untuk kita. Pertamanya, mereka boleh mempengaruhi undi kita. Setelah menang, besar kemungkinannya ada di antara mereka menjadi eksekutif di peringkat negara atau negeri.
Mereka ada banyak kuasa, bahkan mereka boleh berbuat banyak perkara, termasuklah hal yang tak terjangkau akal kita. Kita selalu melihatnya.
Kedua, mereka boleh terus mengubah kata-kata mereka. Ketika kempen, mereka boleh berkata, misalnya, janji tak ada ahli politik yang akan dilantik memimpin syarikat milik kerajaaan. Kini, mereka jugalah yang berhempas pulas mewajarkan pelantikan ahli politik sebagai ketua GLC. Yang kalah dan banyak kontroversi pun boleh dilantik sekali.
Tapi, bukanlah juga berbohong dalam kempen ini - atau bahasa baiknya, ‘janji politik’ menguntungkan mereka juga. Dalam psikologi, pengkaji selalu mengaitkan ia dengan continued influence effect atau bahasa mudahnya, ‘kesan pengaruh terdahulu’.
Kajian mendapati, kesalahan fakta atau maklumat terdahulu yang kemudiannya cuba ‘diperbetulkan’, orang tetap mengingati yang lama juga. Orang tak peduli dengan berapa banyak pun pembetulan yang datang kemudiannya. Senang cerita, orang tak mudah lupa.
Sebab itu agaknya kini ramai orang tak ambil peduli lagi dengan banyak kenyataan mulus ahli politik setelah menjadi kerajaan. Orang mungkin masih bernostalgia dengan banyak janji termasuk janji harga minyak turun atau janji tak akan ada pakatan dengan parti bukan gabungan.
Hillary kerana silapnya dengan sedikit ‘lupa’ itu telah memberi kesan besar dalam kerjayanya.
Beberapa tahun dulu, ketika kempen Presiden Amerika Syarikat, Universiti Quinnipiac di Connecticut telah bertanya 1,563 pengundi apakah ayat yang datang terlebih dahulu di fikiran mereka apabila disebutkan nama Hillary.
Rupanya ayat yang datang dahulu ialah ‘pembohong’ atau liar. Donald Trump pula dianggap sebagai ‘sombong’.
Kita tak tahu apa yang ada dalam fikiran rakyat apabila disebutkan dengan nama pemimpin politik kita. Orang terlupa dengan banyak perkara, tetapi pembohongan akan tetap diingati.
Ya, politik ini jenaka yang menghiburkan.
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca