KAHERAH - Liga Arab pada Ahad mengalu-alukan semula penyertaan Syria, sekali gus menamatkan penggantungan selama lebih sedekad dan menerima kembali Presiden Bashar al-Assad setelah tempoh pengasingan beberapa tahun daripada blok terdiri daripada 22 negara anggota tersebut.
Pada November 2011, badan tersebut menggantung keanggotaan Damsyik susulan tindakan kekerasan ke atas kumpulan penunjuk perasaan yang bermula pada awal tahun berkenaan yang kemudiannya merebak menjadi konflik berlarutan dan telah meragut lebih 500,000 nyawa, manakala jutaan yang lain terpaksa menjadi pelarian.
Ketika ini, sebahagian besar kawasan di utara masih kekal berada di luar kawalan kerajaan dan tiada penyelesaian politik dicapai untuk menamatkan konflik selama 12 tahun tersebut.
Sejak beberapa minggu lalu, Bashar yang dikenakan pengasingan politik ketika perang saudara itu bermula mula sibuk dengan aktiviti politik menjelang Sidang Kemuncak Liga Arab pada 19 Mei ini.
Dalam satu kenyataan, para menteri blok itu menekankan tentang kepentingan melancarkan peranan utama Arab dalam usaha untuk menyelesaikan krisis Syria.
Mereka bersetuju menubuhkan jawatankuasa menteri bagi meneruskan dialog secara langsung dengan Damsyik untuk mencapai penyelesaian menyeluruh.
Ketua Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit berkata, keputusan membawa semua pihak berkomunikasi dengan kerajaan Syria buat pertama kali bertujuan untuk melihat kesemua aspek permasalahan tersebut.
"Damsyik kembali menganggotai Liga Arab adalah satu permulaan dan bukan pengakhiran kepada isu tersebut," ujarnya sambil menambah terpulang kepada negara blok itu untuk menyambung semula hubungan dengan Damsyik atau sebaliknya.
Susulan pengumuman itu, Kementerian Luar Syria menekankan tentang kepentingan 'kerjasama Arab'.
"Peringkat seterusnya memerlukan pendekatan yang efektif dan konstruktif berdasarkan dialog, saling menghormati dan kepentingan bersama Arab," tegasnya.
Difahamkan, beberapa negara Arab memutuskan hubungan dengan Damsyik ketika fasa awal konflik tersebut manakala Qatar dan Arab Saudi memberikan sokongan kepada kumpulan penentang Bashar.
Kali terakhir pemimpin itu menyertai sidang kemuncak Liga Arab adalah pada 2010 manakala pihak pembangkang menghadiri persidangan kumpulan pan-Arab di Doha pada 2013 hingga mengundang kemarahan Damsyik.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjalinkan semula hubungan dengan Syria pada akhir 2018 telah mengetuai usaha untuk mengintegrasikan semula Damsyik ke dalam blok itu.
Ia juga menjadi titik tolak kepada usaha diplomatik untuk menyambung semula hubungan antara Saudi dan Iran menerusi perjanjian ditaja China.
"Kejadian gempa di Turkiye pada 6 Februari lalu menjadi peluang terbaik untuk 'seteru lama' berbaik.
"Keprihatian ditunjukkan Riyadh terhadap Syria adalah sebahagian daripada konteks perdamaian dengan Teheran selain Damsyik menggunakan tragedi itu untuk meraih semula sokongan diplomatik negara Arab," kata penganalisis, Fabrice Balanche yang menyifatkan keputusan Liga Arab sebagai 'kemenangan diplomatik' buat Assad.
Usaha Damsyik tidak sia-sia Pada bulan lalu, Menteri Luar Saudi, Putera Faisal Farhan melakukan lawatan balas pertama ke Damsyik, beberapa hari selepas rakan sejawatannya di Damsyik, Faisal Mekdad berkunjung ke Riyadh.
Mekdad turut mengadakan kunjungan ke beberapa negara Arab lain di bawah usaha diplomatik dilancarkan Syria.
Sebelum ini, sebanyak sembilan negara Teluk bertemu di Riyadh untuk membincangkan keputusan penyertaan semula Damsyik dalam Liga Arab.
Bashar berharap langkah menormalkan semula hubungan dengan negara Teluk yang kaya boleh memulihkan krisis ekonomi dan menerima dana bantuan untuk projek pembinaan semula di negara itu yang terjejas teruk akibat peperangan selama lebih sedekad.
Di wilayah barat laut Idlib yang dikawal pemberontak, pelarian di dalam negara sendiri menzahirkan rasa kecewa terhadap keputusan dibuat Liga Arab.
"Saya mahu bertanya kepada pemerintah Arab, ke mana sebenarnya mereka mahu heret kami?" ujar Ghassan Yussef, 54, dalam nada kecewa. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca