SHAH ALAM - Fenomena cuaca panas ketika Monsun Barat Daya yang dijangka bermula Isnin depan akan menjadi lebih buruk dengan risiko kemarau, jerebu serta gelombang haba yang tinggi sekiranya El Nino turut berlaku di negara ini.
Fenomena tersebut bagaimanapun bukan sahaja berisiko berlaku di Malaysia, bahkan di rantau Asia Tenggara.
Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, ketika ini Malaysia sudah pun terkena tempias angin Monsun Barat Daya yang terhasil daripada tekanan tinggi dari benua Australia.
"Isu paling besar yang kita akan hadapi berkait Monsun Barat Daya pada tahun ini ialah adakah ia juga akan disertai oleh El Nino? Sekiranya ia berlaku ketika pengaruh El Nino kuat, risiko kemarau dan gelombang haba adalah tinggi.
"Tetapi yang lebih bahaya ialah jerebu di mana sekiranya ada pembakaran terbuka di tanah gambut, ia berpotensi merebak dengan ribuan hotspot seperti El Nino pada tahun 2019 di mana kita tak nampak matahari dengan jelas lebih dari dua bulan.
"Indonesia khasnya sudah beri amaran ini mungkin terjadi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 15 Mei dan berterusan sehingga September ini.
Baru-baru ini, media melaporkan, fenomena El Nino kuat dijangka bermula Jun apabila keadaan cuaca akan berubah disebabkan kehadiran Monsun Barat Daya yang cuacanya dicirikan dengan keadaan kering dan panas.
Berdasarkan laporan tinjauan cuaca bagi tempoh Mei hingga Oktober yang dipaparkan di portal MetMalaysia, kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan kitaran atmosfera di kawasan tropika konsisten dengan keadaan El Nino Southern Oscillation (ENSO) adalah neutral.
Bagaimanapun, laporan itu memaklumkan, keadaan neutral yang sedang berlaku itu dijangka akan memasuki fasa El Nino pada Mei hingga Julai ini dengan kebarangkalian 62 peratus.
Sementara itu, Azizan menjelaskan, sekiranya berlaku El Nino ketika Monsun Barat Daya, Malaysia dijangka mengalami kekurangan hujan 10 hingga 20 peratus daripada kebiasaan.
Ujarnya, secara keseluruhan, suhu di negara ini akan meningkat purata satu darjah Celsius.
"Ini juga akan terkesan ke Monsun Timur Laut yang akan masuk bulan November ini. Jadi terbalik kalau El Nino terjadi, kita akan dapat 10 ke 20 peratus kurang (hujan) daripada biasa,” katanya.
Tambah beliau lagi, cuaca panas dengan suhu maksimum 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut di negara ini boleh dikategorikan sebagai gelombang haba.
Setakat ini, suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Malaysia ialah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis sekitar tahun 1998 iaitu semasa kejadian El-Nino melanda.
Sementara suhu maksimum normal di kebanyakan kawasan di negara ini ialah antara 31 dan 33 darjah Celsius.
Bagaimanapun, ujar Azizan, ketika Monsun Barat Daya, terdapat sistem badai selari yang dipanggil Sumatras yang bermula dari Selat Melaka dan masuk ke pantai barat Semenanjung.
"Ini boleh menyebabkan banjir seperti mana kejadian banjir di Lapangan Terbang Subang dan Lebuh Raya Persekutuan, kira-kira 20 tahun lalu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca